Jentera BN jangan terpedaya dengan permainan PH – Rauf

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER LIMAU 18 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengingatkan jentera pilihan raya BN supaya tidak terpedaya dengan perangkap Pakatan Harapan (PH).

Beliau menegaskan, dakwaan Pengerusi PH negeri, Adly Zahari kononnya PH sudah menguasai 10 kerusi dan hanya memerlukan minimum lima lagi kerusi sekadar strategi politik untuk meraih undi dan melemahkan semangat jentera pilihan raya BN.

“Itu bacaan dan dakwaan dia (PH) tetapi kita sendiri ada bacaan kita dan kita tidak akan terperangkap dalam permainan seumpama itu.

“Biarlah dia hendak cakap apa pun, walaupun dia kata dia sudah menang, kita tidak akan terjerlus ke dalam perangkap itu kerana BN yakin membentuk kerajaan negeri Sabtu ini,” katanya ketika ditemui beramah mesra dengan anggota komuniti di sini.

Beliau mengulas dakwaan Adly kononnya pertarungan sebenar antara PH dengan BN adalah di 10 kerusi dan PH hanya perlu menang lima daripada 10 kerusi itu manakala BN memerlukan tujuh daripada 10.

Adly mendakwa, PH yakin sudah ada 10 kerusi dimenanginya, iaitu lapan disumbangkan oleh DAP dan dua lagi oleh AMANAH, sekali gus menjadikan PH hanya perlu menang di minimum lima kerusi lagi untuk membentuk kerajaan.

Dalam pada itu beliau menegaskan, BN yang menang 13 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kali ini meletakkan sasaran memenangi lebih banyak kerusi yang membolehkannya membentuk kerajaan negeri Sabtu ini.

Justeru, Ab Rauf mengingatkan jentera BN supaya memastikan segala kerja disiapkan segera menjelang hari mengundi Sabtu ini.

“Segala kerumitan harus segera dipermudah dan segala tugas perlu diselesaikan segera kerana waktu semakin suntuk dan pastikan semua jentera membuat kerja masing-masing dan segala urusan untuk membawa pengundi ke pusat mengundi berjalan lancar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

568
Kongsi :
Previous post 495,195 pengundi pada PRN Melaka, Sabtu ini
Next post Umum keluar parti, hanya gimik politik
Ubah saiz-+=