Umum keluar parti, hanya gimik politik

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

Telok Mas 18 Nov – Tindakan umum keluar daripada parti dan menarik sokongan yang dilakukan sekumpulan pengundi dianggap hanya gimik politik.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, setiap kali adanya Pilihan Raya Umum (PRU) mahupun Pilihan Raya Negeri (PRN) tindakan itu pasti ada sehingga membuatkan rakyat mula jemu.

“Saya kira acara keluar parti ini akan datang setiap kali (sama ada) Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Kecil (PRK) mahupun PRN dan selalunya digambarkan 500, 1,000 mungkin 5,000 tetapi minta maaf saya cakap sebegitu, ramai orang yang keluar sedangkan yang serah borang dan hadir cuma dua atau tiga orang sahaja.

“Saya fikir ini hanya gimik politik murahan yang rakyat tidak mahu tengok dan jemu. Walaupun saya tahu ada yang keluar tetapi jumlah tidak seramai itu,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan 13 Ikrar Rafiq Untuk Warga Teluk Mas, hari ini.

Beliau yang juga calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas berkata, tindakan dilakukan kumpulan berkenaan tidak mengganggu proses parti menghadapi PRN dan fokus untuk mendapatkan mandat rakyat.

Semalam, UMNO Bahagian Tangga Batu menerima borang keahlian daripada 95 ahli Bersatu cawangan Kampung Bertam Hulu Sungai Udang selepas mengumumkan keluar parti yang didakwa kecewa dengan cara pimpinan ketua cawangan.

Sementara itu, Mohd Rafiq mengumumkan 13 ikrar yang katanya bukan hanya sekadar janji sebaliknya ada diantaranya sudah dilaksanakan.

“Saya ada ‘track record’ dan bukan baru hendak buat tetapi sudah buat sebelum ini seperti hari bertemu rakyat, gerai prihatin rakyat dan kebajikan peniaga.

“Malah ikrar ini juga adalah untuk semua masyarakat tidak kira kaum dan agama kerana 11 daripada 13 adalah untuk pelbagai kaum. Saya berada di sini bukan hanya untuk orang Islam sahaja malah untuk semua,” katanya.

Terdahulu, Mohd Rafiq mengumumkan 13 ikrarnya buat penduduk Telok Mas termasuk memperkasa sektor pelancongan dan ekonomi, serta menyediakan kebajikan nelayan dan penjaja kecil.

Selain itu, Mohd Rafiq turut menjanjikan akses jalur lebar dan menaik taraf fasiliti sukan, kelas mengaji peruuma dan perkhidmatan ambulan dan van jenazah percuma serta membanteras masalah dadah dan premis judi dalam talian.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

810
Kongsi :
Previous post Jentera BN jangan terpedaya dengan permainan PH – Rauf
Next post Keluarga Malaysia inspirasi Telok Mas – Razak
Ubah saiz-+=