Melaka anjur 113 program kesedaran cegah jenayah ‘scammer’

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 9 Disember – Sebanyak 113 program kesedaran jenayah penipuan dalam talian telah dianjurkan di Negeri Melaka sepanjang Januari hingga November tahun ini.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, kesemua program itu diadakan di kesemua tiga daerah dalam negeri ini oleh Polis Melaka di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.

Menurut beliau, program tersebut diadakan secara berterusan bertujuan untuk mencegah peningkatan kes penipuan ‘scammer’ yang masih berada pada paras membimbangkan.

“Program-program berbentuk seminar, bengkel dan sembang santai ini diadakan di pelbagai lokasi tumpuan antaranya kedai makan, taman rekreasi, stesen minyak, kawasan kejiranan, institusi pengajian, kawasan pelancongan dan lain-lain lagi.

“Sasaran aktiviti pencegahan jenayah ini adalah melibatkan kakitangan jabatan kerajaan negeri dan persekutuan, agensi swasta, badan berkanun, institusi pengajian tinggi awam dan swasra, rumah-rumah ibadat, serta persatuan-persatuan penduduk perumahan dan kampung-kampung,” katanya.

Menurut beliau, setakat 2015 hingga sekarang, sejumlah 2,034 aktiviti berbentuk kempen, seminar ataupun bengkel telah dijalankan oleh Polis Melaka bagi membendung gejala penipuan itu.

Tambahnya lagi, bagi memastikan usaha membendung jenayah penipuan dalam talian yang semakin berleluasa dibuat dengan lebih strategik, kerajaan telah menubuhkan Pusat Scam Respons Kebangsaan atau National Scam Response Centre (NSRC) pada 7 Oktober 2022.

Jelas beliau, NSRC bertindak sebagai pusat hentian setempat (One Stop Centre) yang mengkoordinasikan respon pantas terhadap laporan mengenai aktiviti jenayah penipuan menerusi panggilan pantas 997.

“Ia khusus bagi mengesan ‘money trail’, menahan wang bagi meminimumkan kerugian dan mengambil tindakan penguatkuasaan kepada pelaku jenayah siber.

“Selain itu, melalui NSRC juga pelaksanaan kempen-kempen kesedaran berkenaan jenayah penipuan dalam talian di peringkat nasional dibuat dengan kerjasama media tempatan dan media sosial, termasuk mempromosikan portal Semak Mule yang merupakan portal yang boleh diakses oleh orang awam atau mangsa penipuan bagi menyemak maklumat akaun dan talian yang mencurigakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

825
Kongsi :
Previous post MBMB giat kesan pihak miliki tunggakan tinggi
Next post Perodua Axia AV tanda MBMB hargai pembayar cukai
Ubah saiz-+=