Melaka anjur klinik sepak takraw, cungkil bakat baharu

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

BANDA HILIR 5 Februari – Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM) akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka bagi menganjurkan klinik sepak takraw membabitkan pelajar sekolah.

Yang Dipertua PASTAM, Datuk Akramuddin Abd Aziz berkata, program itu bertujuan mencungkil bakat baru, sekali gus mengangkat martabat sukan itu ke peringkat lebih tinggi.

Menurut beliau, kejayaan diraih skuad sepak takraw Melaka pada kejohanan Piala Emas Khir Johari Ke-57 baru-baru ini telah menunjukkan perkembangan positif dalam arena sukan tersebut di negeri ini sekali gus menjadikan pembakar semangat kepada pemain baharu untuk menaikkan nama Negeri Melaka.

Malah, ujarnya, pemain yang bertanggungjawab membawa pulang piala itu selepas 39 tahun akan dijadikan menjadi mentor kepada atlet pelapis.

“Insya-Allah saya dengan kerjasama Jabatan Pendidikan, kita akan mengadakan klinik sepak takraw untuk mencungkil seberapa ramai pemain baharu supaya pemain ini akan mewakili Melaka seperti mana dilakukan oleh pemain sedia ada.

“Saya sudah berbincang dengan barisan jawatankuasa, insya-Allah kerjasama itu akan dilaksanakan di peringkat daerah dan pemain sedia ada ini nanti menjadi mentor kepada generasi baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meraikan pasukan sepak takraw Melaka yang memenangi Piala Emas Khir Johari Ke-57 baru-baru ini di Menara Taming Sari.

Mengulas lanjut, Akramuddin berkata, pada masa sama pihaknya turut mempersiapkan skuad sepak takraw yang akan mewakili negeri ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak.

“Senator Datuk Mustafa Musa akan bersama-sama jurulatih Melaka, Khairul Anwar (Ibrahim) untuk membentuk skuad SUKMA.

“Saya percaya skuad itu sekurang-kurangnya berupaya meraih pingat gangsa dalam kejohanan yang akan diadakan di Miri, Sarawak nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1144
Kongsi :
Previous post Penduduk Kampung Permai hasilkan tanglung guna bahan kitar semula
Next post Masyarakat India Asahan seronok ‘kongsi’ budaya
Ubah saiz-+=