Melaka antara negeri tertinggi rakyat daftar vaksinasi

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 16 Ogos – Melaka menjadi antara negeri merekodkan pendaftaran vaksinasi tertinggi membabitkan rakyat menerusi aplikasi MySejahtera.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Melaka, Mohd Nasrul Menhat berkata, setakat ini, Melaka telah mencapai 91.7 peratus yang mana jumlah itu mengatasi kebanyakan negeri lain.

Bagaimanapun, beliau percaya jumlah itu boleh ditingkatkan menjadi 100 peratus dengan kerjasama semua pihak yang berganding bahu dalam usaha memerangi pandemik COVID-19 ini.

“Suka saya mengingatkan kepada orang ramai agar segera mendaftar untuk mendapatkan vaksinasi termasuk ibu hamil dan remaja dalam kumpulan umur dan kategori yang diputuskan oleh Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksinasi (JKJAV).

“Saya juga ingin menyeru kepada majikan agar memainkan peranan bagi memastikan pekerja mereka termasuk pekerja asing untuk mendapatkan vaksin melalui Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).

“Kerjasama semua pihak itu sangat penting bagi memastikan segala perancangan kita untuk mencapai imuniti kelompok dapat dicapai,” katanya dalam ‘Dialog 1.30 On Air’ di Melaka FM yang bertajuk ‘Kemudahan Ekonomi di Fasa 1, Di Mana Melaka?’

Mengulas lanjut, Mohd Nasrul berkata, program vaksinasi pada masa kini telah menunjukkan kesan positif apabila kadar kemasukan pesakit COVID-19 tahap 3, 4 dan 5 semakin berkurangan.

Situasi itu, jelasnya, bukan sahaja boleh dilihat di Lembah Klang, bahkan di kebanyakan negeri termasuk Melaka sendiri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

849
Kongsi :
Previous post ‘Ambil prinsip kekal sebagai PM bukan pilihan saya’ – Muhyiddin
Next post 2 PPV mega bantu Melaka capai imuniti kelompok akhir Oktober
Ubah saiz-+=