‘Ambil prinsip kekal sebagai PM bukan pilihan saya’ – Muhyiddin

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

PUTRAJAYA 16 Ogos – “Saya boleh mengambil jalan mudah dengan mengorbankan prinsip saya untuk kekal sebagai Perdana Menteri, tetapi itu bukan pilihan saya.”

Demikian tegas Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mengumumkan perletakan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri, hari ini.

Menurutnya, beliau tidak akan sekali-kali bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat, mengganggu kebebasan badan kehakiman dan membelakangi Perlembagaan Persekutuan semata-mata untuk kekal berkuasa.

“Rayuan ikhlas dari jutaan rakyat Malaysia agar saya meneruskan tugas dan tidak meletakkan jawatan, saya dengari. Namun, rayuan ini tidak dapat saya sambut kerana saya telah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Tindakan saya ini adalah selaras dengan sumpah jawatan saya untuk sentiasa menjunjung, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya telah melakukan pelbagai ikhtiar hingga ke saat akhir untuk menyelamatkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN), setidaknya sehingga selesai tugas menguruskan pandemik, program vaksinasi dan pemulihan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pada Perutusan Khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut disiarkan secara langsung saluran televisyen, hari ini.

Muhyiddin berkata, namun ikhtiar itu tidak berhasil disebabkan ada pihak yang rakus untuk merebut kuasa daripada mengutamakan nyawa dan kehidupan rakyat.

“Bagi saya, apa yang berlaku ini adalah ketentuan Allah S.W.T. yang merupakan satu episod dalam sejarah perjuangan politik saya.

“Enam tahun yang lalu, saya dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri semata-mata kerana saya mempertahankan prinsip untuk tidak berkompromi dalam kes penyelewengan 1MDB (1Malaysia Development Berhad).

“Saya berjuang, saya berkorban, akhirnya Allah S.W.T. mengangkat martabat perjuangan saya sehingga saya diberikan amanah untuk memimpin negara ini sebagai Perdana Menteri.

“Namun, telah ditakdirkan bahawa hari ini adalah hari terakhir saya sebagai Perdana Menteri dan saya reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Muhyiddin berkata, jawatan dipikulnya bukan suatu kemegahan, sebaliknya ia datang dengan suatu bebanan tanggungjawab yang berat.

“Saya memimpin negara dalam keadaan krisis kesihatan dan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini, pada masa yang sama saya terus digugat dari segi politik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

326
Kongsi :
Previous post Muhyiddin harap kerajaan baharu utamakan vaksinasi rakyat
Next post Melaka antara negeri tertinggi rakyat daftar vaksinasi
Ubah saiz-+=