Melaka bakal amalkan agenda politik matang

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

SERI NEGERI 26 Nov – Meraikan politik matang menjadi antara agenda yang akan diberi penekanan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali sepanjang mentadbir negeri ini.

Katanya, agenda itu amat penting dalam membentuk kestabilan politik di antara semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipilih rakyat.

Katanya, terdapat dua inisiatif akan dilaksanakan, antaranya menyediakan peruntukan kepada semua ADUN termasuk bukan kerajaan.

“Pendekatan ini adalah berlandaskan konsep ‘Keluarga Malaysia’ agar dapat menerima persamaan dan perbezaan supaya ADUN-ADUN yang telah dipilih oleh rakyat dapat melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

“Selain itu, kerajaan negeri juga akan meminda perlembagaan negeri untuk melantik lima orang ADUN tambahan termasuk wakil belia dan NGO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Balai Istiadat Seri Negeri, hari ini.

Dalam pada itu, dalam memperkasa kestabilan politik di negeri ini, beliau turut mengumumkan enam pelan tindakan yang akan dilaksanakan.

Antaranya, memperkenalkan penggunaan Enakmen Anti Lompat Parti dan juga peruntukan peraturan-peraturan berkaitan untuk diguna pakai bagi menjamin kestabilan sesebuah kerajaan serta mengusulkan kerjasama antara ADUN untuk memastikan jangka hayat DUN Melaka kekal untuk tempoh sekurang-kurangnya empat tahun dari hari pertama bersidang.

Selain itu, beliau juga akan mewujudkan tadbir urus korporat (corporate governance) Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebagai panduan undang-undang dan peraturan kerajaan negeri dan memperkenalkan undi percaya konstruktif untuk memastikan sebuah kerajaan yang tidak menjadi percaturan pihak tertentu.

“Pada masa sama, kita akan memperkenalkan agenda transformasi dan pengukuhan DUN untuk membolehkan semua ADUN memainkan peranan lebih efektif dalam penggubalan undang-undang dan pembuatan dasar bagi memenuhi semak dan imbang tadbir urus Kerajaan Negeri Melaka.

“Selain turut mengusulkan peruntukan dan kebajikan kepada semua ADUN yang akan diputuskan dalam masa yang terdekat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

740
Kongsi :
Previous post Bebanan penyokong faktor MFL kekal harga tiket perlawanan akhir
Next post Sulaiman seru ADUN kerajaan, bukan kerajaan ganding bahu bangunkan Melaka
Ubah saiz-+=