Sulaiman seru ADUN kerajaan, bukan kerajaan ganding bahu bangunkan Melaka

Masa Membaca:53 Saat

SERI NEGERI 26 Nov – Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menyeru semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baik dari blok kerajaan mahupun bukan kerajaan untuk berganding bahu dalam membangunkan negeri Melaka.

Katanya, kerjasama antara kedua-dua pihak sangat penting dalam membentuk kerajaan negeri yang kukuh dan stabil.

“Diharap semua yang dilakukan ini dapat membawa rakyat dan negeri ini ke aras lebih tinggi, maju dan sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Balai Istiadat Seri Negeri, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut meminta kesemua Exco yang baharu dilantik agar dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh integriti, di samping memahami visi dan hala tuju pentadbiran negeri.

“Kepada semua penjawat awam negeri dan persekutuan, anggota keselamatan, agensi-agensi Kerajaan Negeri, badan berkanun, pihak swasta dan rakyat keseluruhannya, saya memohon agar kita semua dapat bekerjasama serta terus menyokong aspirasi Kerajaan Negeri yang baharu ini,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1379
Kongsi :
Previous post Melaka bakal amalkan agenda politik matang
Next post Peruntukan geran RM210 juta untuk pembangunan Melaka tahun hadapan
Ubah saiz-+=