Sorting by

×

MELAKA BAKAL JADI PENTAS DUNIA

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 18 Ogos – Kurang sebulan lagi, Melaka bakal menjadi pentas dunia apabila lebih 159 delegasi antarabangsa ‘berkampung’ di negeri ini bersempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) dan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pemilihan Melaka sebagai tuan rumah adalah pengiktirafan berprestij daripada Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) yang sebelum ini berlangsung di Tbilisi, Georgia.

“Ini bukan keputusan biasa. Tetapi peluang untuk kita menonjolkan kepada dunia bahawa Melaka bukan sahaja sebuah bandar warisan UNESCO, tetapi hab pelancongan hijau dan pintar.

“Impaknya mampu bertahan sehingga 10 tahun akan datang dan setakat ini, 90 peratus persiapan sudah siap melibatkan lokasi, pengangkutan, logistik dan keselamatan. Tiada ruang untuk leka, kita mesti pastikan segalanya sempurna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Bagi Bulan Ogos 2025 Dan Kibar Jalur Gemilang Bersama Penjawat Awam Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, barisan Exco, Timbalan Exco Kerajaan Negeri, ketua jabatan serta agensi Kerajaan Negeri.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, impak daripada penganjuran WTD2025 akan membuka ruang pelaburan baharu dalam pelancongan kesihatan, kapal persiaran, pelancongan halal dan penerbangan.

“Manfaat ekonomi turut dirasai 1.05 juta rakyat Melaka melalui peluang pekerjaan dalam pengurusan acara, hospitaliti, perniagaan kecil serta jualan produk tempatan dan budaya autentik.

“Apabila delegasi pulang, biarlah mereka berkata: Negeri kecil, tetapi semangatnya besar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

431
Kongsi :
Previous post MAIM AGIH KUTIPAN ZAKAT RM92.5 JUTA KEPADA ASNAF
Next post WTD2025 PEMANGKIN EKONOMI, BERI IMPAK BESAR KEPADA RAKYAT MELAKA