
MELAKA BERI INSENTIF KHAS RM50,000 KEPADA EE WEI
SERI NEGERI 9 September – Kerajaan Negeri memberikan insentif khas kemenangan kepada jaguh badminton negara Toh Ee Wei yang juga anak kelahiran Melaka kerana menjuarai kategori beregu campuran kejohanan dunia di Paris, Perancis, baru-baru ini.
Insentif itu disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kepada Ee Wei dalam perjumpaan di Pejabat beliau di Seri Negeri, semalam.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, insentif khas kemenangan RM50,000 itu juga bagi menghargai Ee Wei yang secara tidak langsung mengharumkan nama Melaka di persada dunia.
“Dalam pertemuan ini, saya turut berbangga dan menyambut baik hasrat Ee Wei yang bercadang untuk menubuhkan sebuah akademi badminton di Negeri Melaka sebagai satu cara beliau berbakti kepada negeri kelahirannya, selain mahu melahirkan lebih ramai jaguh sukan badminton.
“Saya percaya, sumbangan khas yang diberikan oleh Kerajaan Negeri ini menjadi penyuntik semangat buat semua wira dan wirawati kelahiran Melaka untuk berjaya di pentas antarabangsa, sekali gus mengharumkan nama Melaka di persada dunia,” kata Ketua Menteri menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.
Pada pertemuan itu Ee Wei turut ditemani ibunya Jane Yeo dan Pengarah Eksekutif Mamee Double Decker, Datuk Gary Choo Kok Sen.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.