
MELAKA BUKA 1,500 PELUANG KERJA BAHARU DALAM BIDANG MARITIM
KLEBANG 21 April – Pembangunan industri maritim di Melaka terus membuka ruang luas kepada tenaga kerja tempatan apabila lebih 1,500 peluang pekerjaan dijangka diwujudkan menerusi projek Enrique of Malacca Shipyard di Klebang.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, projek berimpak tinggi itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal, malah turut memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan khususnya dalam bidang maritim.
Menurutnya, peluang pekerjaan yang diwujudkan merangkumi pelbagai bidang termasuk pembinaan dan pembaikan kapal, perkhidmatan marin serta kemudahan fabrikasi, sekali gus membuka ruang kepada lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Projek ini akan membuka lebih 1,500 peluang pekerjaan kepada anak tempatan, khususnya mereka yang mempunyai kemahiran dalam bidang teknikal dan maritim,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Enrique of Malacca Shipyard di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh serta Penasihat Undang-Undang Negeri Datuk Khairul Azreem Mamat.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong; Ketua Pegawai Eksekutif Straits of Melaka Waterfront Economic Zone Corporation (SM-WEZ) Datuk Shamsul Ambia Abdul Aziz dan Pengarah Desan Shipyard Cenk İsmail Kaptanoğlu.
Menurut Ketua Menteri, pembangunan projek itu juga memberi peluang kepada anak muda Melaka untuk terus kekal bekerja di negeri sendiri tanpa perlu berhijrah ke luar bagi mencari pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Ia sekali gus menyokong usaha Kerajaan Negeri dalam memperkukuh ekosistem tenaga kerja mahir selaras dengan keperluan industri maritim yang semakin berkembang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


