Melaka buka hospital kluster jika kes COVID-19 meningkat selepas Aidilfitri

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

AYER KEROH 27 April – Sebuah hospital kluster COVID-19 akan dibuka di negeri ini sekiranya jangkitan COVID-19 kembali meningkat selepas Hari Raya Aidilfitri nanti, kata EXCO Kesihatan Negeri Dr Muhamad Akmal Saleh.

Beliau berkata, pembukaan hospital kluster itu merupakan antara pelan sandaran yang disediakan bagi menghadapi apa jua kemungkinan mendatang selepas Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di MITC ditutup secara rasmi pada 30 April.

KAKITANGAN Jabatan Kesihatan melakonkan gimik pada Majlis Penutupan Pusat Kuarantin Dan Rawatan COVID-19 (PKRC) MITC, Ayer Keroh, Melaka. Foto: MR. Azli

Katanya, buat masa ini salah satu daripada hospital daerah iaitu sama ada Hospital Jasin atau Hospital Alor Gajah akan dicadangkan untuk dijadikan hospital kluster tersebut, namun ia bergantung kepada peningkatan kes.

“Sebaik PKRC MITC ditutup, untuk sementara kita sudah sediakan Kolej Jururawat di Hospital Melaka sebagai pusat kuarantin yang mampu menempatkan 200 hingga 300 pesakit.

“Tetapi jika ada kenaikan kes kita sudah sediakan pelan A, B dan C yang mana salah satunya ialah untuk mewujudkan hospital kluster COVID-19 sama ada di Alor Gajah atau Jasin yang mana ia kerana kita tidak mahu bebanan COVID-19 akan mengganggu perawatan pesakit bukan COVID-19 di Hospital Melaka.

“Jadi, itu antara pelan yang kita sediakan selain bersiap sedia untuk membuka semula PKRC itupun hanya jika kapasiti pesakit tidak mampu ditampung lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan penutupan PKRC MITC, di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Dr Rusdi Abd Rahman, Pengarah APM Melaka Lt Kol Cuthbert John Martin Quadra dan Pengarah PKRC MITC Dr Abdul Karim Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata, situasi COVID-19 di Melaka pada ketika berada pada tahap yang baik apabila dalam tempoh tiga hari berturut-turut kes harian yang direkodkan hanyalah dua digit sahaja.

Malah, katanya, kadar kemasukan pesakit ke hospital juga menurun kepada 13 peratus sahaja, begitu juga jumlah kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) yang kini berada pada tahap 9.4 peratus.

“Kita memang menjangkakan kes akan terkawal tetapi kalau boleh kita nasihatkan semua perantau atau mereka yang ingin pulang beraya agar terus mematuhi SOP ditetapkan.

“Walaupun sudah memasuki fasa peralihan endemik kita tetap perlu jaga SOP untuk mengekang jangkitan dan pada masa sama membantu negara kita beralih ke fasa endemik sepenuhnya,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1149
Kongsi :
Previous post Majlis Perbandaran Jasin belanja anak-anak yatim dan OKU pakaian raya
Next post Ahmad Zahid saman Tun M
Ubah saiz-+=