Majlis Perbandaran Jasin belanja anak-anak yatim dan OKU pakaian raya

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

JASIN 27 April – Aidilfitri yang bakal menjelang membawa kegembiraan buat 31 anak yatim piatu dan orang kurang upaya (OKU) sekitar Jasin apabila berpeluang memilih kelengkapan Hari Raya di pusat beli belah Mydin Jasin.

Semua anak yatim dan oku itu diraikan menerusi Program Kasihmu Ramadan, Mewarnai Syawal Anak Syurga anjuran Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).

Mereka yang berusia 5 hingga 17 tahun termasuk seorang OKU masalah pembelajaran diperuntukkan sebanyak RM250 seorang untuk memilih pakaian serta kasut raya dengan disantuni oleh Yang Dipertua MPJ, Datin Sapiah Haron bersama ketua-ketua unit jabatan dan anggota.

Menurut Sapiah, program itu pertama kali dianjurkan sempena Aidilfitri kali ini memandangkan sebelum ini pihaknya hanya menyumbang keperluan makanan kepada golongan asnaf, ibu tunggal dan warga emas.

“Pihak Japerun Dewan Undangan Negeri (DUN) memberi senarai nama anak-anak yang terpilih yang mana sebahagian besarnya terdiri daripada anak yatim dan yatim piatu.

“Kita harap dengan sedikit sumbangan ini ia dapat menggembirakan hati mereka untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Selain itu, Sapiah berkata, pihaknya turut memberi tumpuan membantu menyediakan kemudahan asas khususnya membaiki kerosakan rumah untuk golongan kurang berkemampuan dalam kawasan pentadbirannya.

Katanya, di bawah peruntukan Kementerian Luar Bandar (KLB) pada tahun ini, sebanyak 30 unit rumah bagi golongan kurang berkemampuan telah disenarai untuk dibaiki.

“Selain itu, kita juga mengenal pasti mana-mana golongan kurang berkemampuan terutama mereka yang tercicir dari mendapat bantuan misalnya program e-Kasih, kita akan bantu mereka mendapat bantuan sewajarnya,” kata beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1212
Kongsi :
Previous post Kenyataan tular larangan laungan azan guna pembesar suara bukan di Malaysia
Next post Melaka buka hospital kluster jika kes COVID-19 meningkat selepas Aidilfitri
Ubah saiz-+=