Kenyataan tular larangan laungan azan guna pembesar suara bukan di Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KUALA LUMPUR, 27 April – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa kenyataan yang tular di media sosial baru-baru ini berhubung larangan laungan azan menggunakan pembesar suara bukan dikeluarkan di Malaysia sebaliknya berlaku di Pune, India.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata arahan itu dibuat oleh Presiden Maharashtra Navnirman Sena iaitu Raj Thackeray dan dilaporkan dalam sebuah portal The New Indian Express pada 17 April lepas.

Beliau berkata Raj juga turut mengarahkan agar membuang semua pembesar suara dari masjid sebelum 3 Mei ini dan mengumandangkan ‘Hanuman Chalisa’ (puisi untuk dewa) di hadapan masjid jika arahan itu gagal dipatuhi.

“Selain itu, PDRM juga sedang menjalankan siasatan terhadap pemilik akaun TikTok dikenali sebagai ‘Syierabahari_ ‘ yang dilihat mengulas isu berkenaan secara provokasi dan berkemungkinan boleh menggugat ketenteraman serta keharmonian kaum di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut peruntukan Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Abd Jalil berkata siasatan masih diteruskan dan PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

“PDRM turut menasihatkan orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum.

“Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya.

Sebelum ini tular di media sosial, seorang lelaki dikenali sebagai Raj Thackeray dalam laporan sebuah portal mengarahkan agar membuang semua pembesar suara dari masjid sebelum 3 Mei ini dan mengumandangkan ‘Hanuman Chalisa’ (puisi untuk dewa) di hadapan masjid jika arahan itu gagal dipatuhi.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1389
Kongsi :
Previous post JPJ periksa bas ekspres di depoh, terminal pastikan selamat beroperasi
Next post Majlis Perbandaran Jasin belanja anak-anak yatim dan OKU pakaian raya
Ubah saiz-+=