Sorting by

×

MELAKA BUKA JALAN KERJASAMA DENGAN NIPRO CORPORATION

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

OSAKA, JEPUN 3 September – Kerajaan Negeri membuka jalan kerjasama dengan syarikat Nipro Corporation dalam siri lawatan kerja ke Osaka, Jepun.

Lawatan ke syarikat global dalam bidang peranti perubatan, farmaseutikal, pembungkusan ubatan serta perubatan regeneratif itu diadakan bersempena Minggu Melaka di World Expo 2025 Osaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, tujuan utama lawatan itu adalah untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai teknologi dan sistem maju yang dibangunkan oleh Nipro Life Science.

Beliau turut menyuarakan keyakinan kepakaran tersebut mampu disesuaikan dengan ekosistem kesihatan di Melaka, demi meningkatkan mutu rawatan dan perkhidmatan kepada pengguna.

“Kerajaan Negeri yakin pertemuan ini dapat membuka jalan kepada kerjasama lebih erat yang membawa manfaat bersama serta impak jangka panjang.

“Saya juga turut menjemput kepimpinan Nipro Corporation untuk. berkunjung ke Melaka, seterusnya melihat sendiri perkembangan dan kemajuan sektor kesihatan khususnya dari sudut pelancongan perubatan,” katanya selepas lawatan itu.

Terdahulu, lawatan yang diadakan dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Osaka itu turut disertai Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar serta lain-lain kenamaan.

Ketibaan delegasi Kerajaan Negeri pula disambut oleh pengurusan Nipro Corporation diketuai Pengurus Bahagian Dasar Perdagangan & Perindustrian, Promosi Perniagaan dan Pengembangan Luar Negara Nanako Asano.

Dalam pada itu, Ketua Menteri turut merakamkan ucapan terima kasih di atas sambutan mesra warga Nipro Corporation dan berharap kesinambungan kerjasama pada masa akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

899
Kongsi :
Previous post PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT DALAM PERJALANAN PULANG