
MELAKA CADANG BINA ‘RETIREMENT VILLAGE’ HADAPI NEGARA MENUA 2040
DURIAN TUNGGAL 27 Ogos – Kerajaan Negeri bercadang mewujudkan ‘Retirement Village’ atau Perkampungan Orang Bersara sebagai salah satu langkah persediaan menghadapi status negeri menua menjelang tahun 2040.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, konsep itu dilihat mampu menyediakan ekosistem kehidupan yang lebih kondusif dan produktif kepada warga emas.
Katanya, usaha itu juga dilihat mampu mengurangkan risiko kesihatan selepas bersara dan sekiranya usaha ini dapat direalisasikan ia akan mengangkat Melaka sebagai negeri contoh dalam pengurusan warga emas.
“Di peringkat cadangan, Retirement Village ini juga warga emas tidak hanya duduk di rumah sahaja, mereka boleh menyertai pelbagai aktiviti, ada peluang untuk pekerjaan ringan, malahan sistem sokongan kesihatan juga disediakan.
“Konsep ini telah terbukti berjaya di negara-negara maju seperti Jepun, China dan New Zealand. Jika berkesempatan cadangan ini kita akan bawa serta laksanakan di Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Program Seminar Kependudukan Peringkat Negeri di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini hari ini.
Hadir sama, Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk. Ts. Dr. Massila Kamalrudin; Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Melaka, Susma Khairitszi Mamat serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Kalsom berkata Melaka turut berdepan cabaran baharu apabila merekodkan kadar kelahiran rendah iaitu 1.7 orang anak berbanding paras penggantian populasi 2.1 orang anak.
Jelasnya, antara cabaran lain adalah kos sara hidup dan beban hutang yang menyebabkan anak muda menangguhkan perkahwinan dan mempunyai zuriat.
“Menerusi program seumpama ini, kita mahu membuka mata anak muda supaya berani membina keluarga, pada masa yang sama kita juga perlu menyediakan sistem sokongan kepada warga emas agar mereka terus aktif dan sihat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.