Melaka cadang insentif untuk jurulatih cemerlang

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

KERAJAAN Negeri akan mengkaji cadangan pemberian insentif kepada jurulatih yang membantu atlet meraih kejayaan cemerlang di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam berkata, cadangan itu bertujuan untuk menghargai peranan jurulatih yang juga watak penting dalam membantu kecemerlangan atlet negeri dalam apa jua kejohanan yang disertai.

Katanya, jika ia direalisasikan, Melaka bakal menjadi antara negeri terawal mewujudkan skim insentif seumpamanya di negara ini.

“Cadangan ini timbul selepas saya selaku Exco melawat semua fasiliti latihan sukan di negeri ini.

“Kita melihat jurulatih merupakan individu yang memainkan peranan penting kepada kejayaan atlet, namun di kebanyakan negeri, peranan mereka ini seolah-olah kurang di ambil kira.

“Jadi, saya telah berbincang dengan Ketua Menteri untuk kita bentangkan pemberian insentif ini kepada jurulatih secepat mungkin supaya ia dapat bantu mengembangkan lagi sukan-sukan di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Insentif Kemenangan Pemenang Pingat di Kejohanan Dunia, Sukan Komanwel dan Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX di Auditorium Seri Negeri, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Salhah Salleh; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Zulkiflee Mohd Zin dan Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka Mahathir Mustafa.

photo1667383497
SHANMUGAM dan Zulkiflee beramah mesra dengan Aaron Chia dan atlet lain yang menerima insentif di atas kejayaan masing-masing.

Pada majlis itu seramai 46 atlet cemerlang diberikan insentif khas mengikut tahap pencapaian masing-masing dengan peruntukan berjumlah RM225,300.

Jelas Shanmugam, pemberian insentif merupakan acara tahunan Kerajaan Negeri bagi menghargai atlet yang meraih kecemerlangan dalam kejohanan sukan yang disertai sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Menurutnya, penerima tertinggi pada majlis itu ialah atlet beregu badminton lelaki negara Aaron Chia yang menerima insentif keseluruhan berjumlah RM70,000 di atas kejayaannya muncul juara pada Kejohanan Badminton Dunia 2022, selain memenangi pingat emas dan gangsa pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Manakala bagi atlet Sukan Malaysia (SUKMA) XX 2022 pula, atlet renang Low Zheng Yong menjadi penerima insentif tertinggi iaitu sebanyak RM14,000 di atas kejayaan membawa pulang satu pingat emas dan enam gangsa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2006
Kongsi :
Previous post Aaron Chia rasa terganggu..
Next post Peniaga dapat khemah, terima kasih YB Ah Sem!
Ubah saiz-+=