Melaka cadang perairan Selat Melaka dibahagi kepada tiga zon

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

PENGKALAN BATU 1 Julai – Isu ratusan kapal dagang berlabuh dan jenayah di perairan negeri ini antara kekangan dihadapi golongan nelayan untuk menangkap ikan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, sebagai penyelesaian cadangan untuk membahagikan tiga zon di kawasan perairan pantai, mengehadkan bilangan kapal induk berlabuh dan membanteras jenayah akan dibincang dan diperhalusi dalam masa terdekat.

Menurutnya, cadangkan pembahagian zon di perairan Selat Melaka bertujuan memudahkan nelayan menjalankan aktiviti menangkap ikan.

EXCO Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee

“Cadangan ini dibincangkan untuk dilaksanakan secepatnya di Selat Melaka dengan zon pertama adalah zon penangkapan ikan diikuti zon kapal berlabuh dan zon laluan kapal selat antarabangsa sekali gus tidak lagi mengganggu nelayan menjalankan aktiviti perikanan di negeri ini,” katanya dalam temubual bersama Melaka Hari Ini di Japerun Pengkalan Batu, hari ini.

Mengulas lanjut Norhizam berkata, terdapat kira-kira 500 kapal berlabuh di perairan Selat Melaka dan ada antaranya menjalankan perkhidmatan urus niaga antara kapal ke kapal membabitkan kapal induk yang menjual minyak, air, bekalan makanan dan stok serta mengeksploitasi perairan hingga menjejaskan nelayan menangkap hasil laut.

“Sehingga kini juga didapati lebih 10 kapal induk berlabuh di Selat Melaka, sedangkan kita sekurang-kurangnya hanya memerlukan empat kapal induk di perairan itu.

“Lebih mengejutkan kapal-kapal ini akan berlabuh di tempat sama saja selama berbulan hingga bertahun sekali gus menyukarkan nelayan untuk menjalankan aktiviti memukat yang memerlukan ruangan.

“Apatah lagi kini perairan Melaka semakin sempit akibat penambakan seluas 1.5 kilometer persegi, kita tak banyak lagi ruang untuk nelayan menangkap ikan…agak terhad,” katanya.

Beliau berkata, bukan saja hasil nelayan berkurang, malah ada kala kelengkapan seperti pukat yang dipasang rosak akibat dilanggar atau terkena kipas kapal.

“Jadi saya bertegas walaupun kapal ini menerima kebenaran Jabatan Laut Malaysia (JLM) untuk berlabuh, ia tetap menyusahkan nelayan.

“Saya juga telah berbincang dan akan bangkitkan lagi perkara ini dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) agar ada penyelesaian buat 1,200 nelayan berlesen di Melaka,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1620
Kongsi :
Previous post COVID-19 : Empat kematian, 311 kes positif
Next post Mukim dan lokaliti di Selangor, KL dikenakan PKPD 3 hingga 16 Julai
Ubah saiz-+=