Melaka fokus kepimpinan digital

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

AYER KEROH 9 Februari – Inisiatif kepimpinan digital menjadi keutamaan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dalam mendepani Revolusi Industri 4.0.

Ketua Menteri berkata, inisiatif itu adalah sebagai pendedahan kepada semua berhubung adaptasi aspek digitalisasi dalam pentadbiran, sekali gus memastikan proses penyampaian perkhidmatan dapat bergerak seiring dengan ledakan teknologi maklumat.

Katanya, Kerajaan Negeri juga menetapkan pencapaian 100 peratus sasaran bagi tahun 2024 menerusi Mesyuarat Petunjuk Prestasi Utama atau KPI Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Negeri pada 4 Disember 2023 yang lalu.

“Era Revolusi Industri 4.0 atau IR4.0 ini pastinya menuntut kita semua selaku penjawat awam untuk ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’ dengan masyarakat global. Jika dibiarkan kita ketinggalan waima satu saat sekali pun, sudah pasti akan jauh ketinggalan.

“Justeru, usaha dilaksanakan Kerajaan Persekutuan dengan peluncuran portal‘Artificial Intelligence Untuk Rakyat’ dilihat satu inisiatif efektif dan membantu meningkatkan literasi rakyat terhadap teknologi terkini,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan YAB Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Melaka di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Majlis itu dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari.

Yang turut hadir, Barisan Timbalan Menteri, Barisan Exco Kerajaan Negeri; Barisan Ketua Setiausaha Kementerian, Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Barisan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun); Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara.

Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri juga sentiasa optimis dalam menyokong penghayatan terhadap nilai-nilai dibawah prinsip Malaysia MADANI.

“Saya perluaskan lagi nilai-nilai murni dan terpuji dalam Malaysia MADANI iaitu dengan slogan ‘Bijak Laksana Tuah’, ‘Berani Laksana Jebat’ diinspirasikan daripada hulubalang hebat iaitu Hang Tuah serta Hang Jebat.

“Justeru, ia dijadikan sebagai suntikan semangat baharu kepada seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Negeri untuk lebih progresif dan dinamik. Terdapat 11 tonggak disusun sebagai satu pembaharuan dalam gerak kerja penjawat awam seterusnya memacu Negeri Melaka maju ke hadapan dengan lebih pantas dan efisien,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

892
Kongsi :
Previous post PM umum RM35 juta untuk Melaka
Next post PM datang lagi ke Melaka 20 Februari ini
Ubah saiz-+=