MELAKA GARIS 7 INISIATIF PERKUKUH EKOSISTEM INDUSTRI HALAL

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

AYER KEROH 8 Ogos – Kerajaan Negeri menggariskan tujuh inisiatif utama bagi memperkukuh ekosistem industri halal Melaka, sekali gus memastikan sektor berkenaan terus berkembang sebagai antara pemacu ekonomi berimpak tinggi negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, tujuh pendekatan itu memberi tumpuan menyeluruh merangkumi pengukuhan ekosistem pelaburan, pembangunan industri, pemerkasaan usahawan tempatan serta peluasan pasaran halal ke peringkat antarabangsa.

Menurutnya, antara fokus utama ialah mewujudkan ekosistem pelaburan mesra pelabur, memperkukuh Melaka Halal Hub serta memperluas kerjasama strategik merentasi pelbagai sektor.

“Antara usaha yang terus diperkasakan adalah ekosistem pelaburan mesra pelabur, pengukuhan Melaka Halal Hub, kerjasama strategik multisektor dan pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.

“Dua lagi pendekatan ialah pembangunan modal insan dan bakat serta promosi dan jaringan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan pada Majlis Perasmian Melaka Halal International Festival 2026 (MIHF’26) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Tuminah Kadi@Mohd Hasim serta Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Siti Faizah Abd Azis.

Turut hadir, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad; Mufti Kerajaan Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawel; Pengurus Besar MAIM Holding Amirul Basirun dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat serta kenamaan lain.

Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada pelaksanaan inisiatif serta program baharu yang berteraskan pembangunan kreatif dan inovatif dalam kalangan usahawan perusahaan kecil dan sederhana.

Jelas beliau, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan industri halal Melaka bukan sahaja berkembang dari segi jumlah pengusaha, malah mampu menghasilkan produk dan perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah serta daya saing lebih tinggi.

“Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk memartabatkan industri halal sebagai salah satu sektor ekonomi berimpak tinggi melalui pendekatan yang menyeluruh.

“Pendekatan bersepadu ini penting bagi memastikan usahawan tempatan bukan sahaja mampu mengembangkan perniagaan, malah berupaya menembusi pasaran serantau dan antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, pengukuhan ekosistem halal secara menyeluruh turut mampu membuka lebih banyak peluang kepada PMKS tempatan untuk meningkatkan kapasiti, memperluas jaringan perniagaan serta memanfaatkan peluang pasaran halal yang semakin berkembang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

689
Kongsi :
Previous post ANAK MUDA MELAYU BUKTIKAN BIDANG TEKNIKAL MAMPU PERGI JAUH
Next post ‘RC POWER BOAT’ SERLAH POTENSI BAHARU TASIK CHINCHIN