
MELAKA HAB BAHARU LATIHAN, PENYELENGGARAAN PENERBANGAN SERANTAU
SERI BENDAHARA 23 Oktober – Melaka bakal gah berdiri sebagai hab penerbangan dan pendidikan teknikal serantau menerusi pembangunan Pusat Kecemerlangan Penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM).
Ia bakal direalisasikan bermula tahun depan selepas Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Melaka (MCORP) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Weststar Aviation Sdn Bhd.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pembangunan pusat kecemerlangan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) perlu disegerakan memandangkan ia bakal menjadi satu lagi katalis ekonomi baharu Melaka dalam bidang latihan dan penyelenggaraan penerbangan.
Menurut beliau,projek tersebut dijangka siap sepenuhnya dalam masa lima tahun, seterusnya bakal menjadikan Melaka antara pusat tumpuan utama latihan dan operasi penerbangan helikopter di Asia Tenggara.
“Pembangunan ini akan berlaku secara berfasa, di mana pada fasa satu, akan dibangunkan pusat latihan penerbangan helikopter untuk melahirkan juruterbang-juruterbang helikopter di negara ini.
“Seterusnya, akan dibangunkan pula Hab Penyelenggaraan Helikopter iaitu Maintanence, Repair dan Overhaul (MRO); hab logistik helikopter serta pelbagai lagi ekosistem berkaitan dunia penerbangan yang akan diusulkan oleh pihak Weststar.
“Malah, pihak Weststar juga kini diberikan komitmen oleh lebih 40 buah syarikat tempatan dan antarabangsa untuk bersama-sama (membangunkan) projek ini dan akan berpindah ke Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pembangunan Pusat Kecemerlangan Penerbangan di LTAM dan Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Weststar Aviation Sdn Bhd bersama Kerajaan Negeri Melaka di Bilik Mesyuarat Seri Bendahara, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Timbalan Pengerusi Perbadanan Melaka (MCORP) Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Ketua Pegawai Eksekutif MCORP Datuk Mohd Yusof Abu Bakar.
Manakala Weststar dihadiri Pengerusinya, Tan Sri Dr. Syed Azman Syed Ibrahim; Pengarah Eksekutif Weststar Aviation Sdn Bhd Syed Muhammad Azni Syed Azman dan warga kerjanya.
Terdahulu, Mou tersebut dimeterai Syed Muhammad Azmi mewakili Weststar Aviation, manakala Kerajaan Negeri diwakili Khaidhirah.
Menurut Ab Rauf, pembangunan Pusat Kecemerlangan Penerbangan itu bukan sekadar projek fizikal, tetapi merupakan pelaburan jangka panjang dalam ilmu, kemahiran dan masa depan anak muda negeri ini.
“Ia juga membuktikan keyakinan pelabur terhadap Melaka sebagai destinasi strategik industri penerbangan serantau.
“Pada masa sama, inisiatif ini selaras dengan agenda Melakaku Maju Jaya 2035 dan aspirasi Malaysia MADANI, dengan matlamat memperkukuh ekonomi negeri melalui pembangunan industri berimpak tinggi, berasaskan kemahiran dan teknologi,” katanya.
Tambah Ketua Menteri, pada mesyuarat itu, satu pembentangan telah dilaksanakan oleh Weststar Aviation bagi memperhalusi cadangan pembangunan di tapak pembangunan seluas 6.92 hektar (17.1 ekar) di dalam kawasan LTAM yang telah dikenal pasti untuk pelaksanaan fasa pertama projek.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.