Melaka kekal destinasi pilihan pelancong – TYT

Masa Membaca:52 Saat

AYER KEROH 20 Julai – Melaka masih kekal sebagai destinasi pilihan pelancong dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama (Dr) Haji Mohd Ali Mohd Rustam berkata, data itu dapat dilihat apabila negeri bersejarah ini mencatat pertambahan bilangan pelancong yang signifikan pada 2019 iaitu seramai 18.7 juta, berbanding 17.02 juta pada 2018.

Bagaimanapun beliau mengakui penularan pandemik Covid-19 yang melanda dunia sepanjang tahun ini menyebabkan sektor pelancongan menjadi antara sektor yang terjejas teruk hingga menyebabkan Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) dibatalkan.

Namun, beliau percaya, Melaka yang terkenal dengan sektor pelancongan sejarah dan kebudayaan ini dapat bangkit lebih awal dengan menyasarkan kepada kedatangan pelancong domestik terlebih dahulu.

“Pelancongan domestik menyumbang kepada 69.6 peratus data pelancong ke negeri Melaka 2019. Justeru, saya percaya kerajaan negeri boleh memberi fokus pada waktu ini untuk menarik kehadiran pelancong ini dengan produk pelancongan sedia ada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian persidangan kedua penggal ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14, di Seri Negeri, sebentar tadi.

-AKAN MENYUSUL-

Views:

309
Kongsi :
Previous post Ganding bahu realisasi visi menuju negeri lestari – TYT
Next post TYT mahu bidang perusahaan bioteknologi dipergiat
Ubah saiz-+=