Melaka kesan 14 ‘hotspot’ baharu banjir

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 14 Julai – Sebanyak 14 hotspot baharu telah dimasukkan ke dalam senarai pelan tindakan atasi masalah banjir di seluruh negeri.

EXCO Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur, dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, ia termasuk mengatasi limpahan air Sungai Chohong ke sekitar kediaman rendah bagi daerah Jasin.

Menurutnya, bagi kawasan Ayer Keroh, ia turut melibatkan masalah sama iaitu limpahan air Sungai Putat ke sekitar penempatan di Kampung Pulau Nibong.

“Hotspot baharu ini juga melibatkan isu sama bagi daerah Melaka Tengah di kawasan Ayer Molek, juga masalah limpahan air sungai ke kediaman rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan Aidiladha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) kepada 200 asnaf.

RAHMAD ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan Aidiladha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) kepada 200 asnaf.

Selain itu, menurut Rahmad, secara keseluruhannya terdapat 124 hotspot kawasan banjir di negeri ini yang telah dikenal pasti untuk tindakan segera.

Daripada jumlah itu, katanya, 79 hotspot telah berjaya diselesaikan manakala 45 kawasan lagi sedang dalam tindakan.

“Selain 14 hotspot baharu ini, 18 kawasan terpaksa dikeluarkan daripada pelan tindakan banjir ini kerana dianggap tidak relevan.

“Tidak relevan ini bermakna ada sesetengah tempat atau laluan longkang tidak mendapat izin tuan tanah dan sebagainya.

“Bagaimanapun, kita akan cuba selesaikan mana-mana hotspot yang telah dikenal pasti untuk tindakan mengatasi masalah banjir ini,” katanya.

Katanya, tindakan atasi masalah banjir di kawasan hotspot melibatkan pelaksanaan projek baharu, tidak termasuk rancangan tebatan banjir (RTB) dan kerja-kerja penyelengaraan banjir lain.

“Hotspot banjir ini melibatkan kerja-kerja membaiki atau melaksanakan projek baharu dalam menyelesaikan isu banjir di kawasan terlibat.

“Kerja-kerja menyelengara banjir pula dilakukan dari semasa ke semasa dan tidak termasuk pelan tindakan jangka pendek dari JPS, JKR dan pihak berkuasa tempatan lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1844
Kongsi :
Previous post Cermin gelap kesalahan jalan raya paling tinggi
Next post Tajuk-tajuk Utama Akhbar – Khamis, 14 Julai 2022
Ubah saiz-+=