Melaka komited kekalkan negeri hijau bebas pandemik

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

LENDU, 7 Ogos – Melaka terus komited dalam memerangi COVID-19 dengan mengekalkan status negeri hijau selepas hampir dua minggu Melaka catat sifar kes dari pandemik terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Rahmad Mariman berkata, pelbagai strategi terus diperkasakan sebagai langkah pencegahan wabak itu diseluruh negeri terutama di pintu masuk antarabangsa.

Ujarnya, saringan bersasar terus dijalankan bagi mereka yang pulang mahupun ke luar negara bagi memastikan pandemik ini terus dicegah.

“Ujian saringan terus dijalankan seperti biasa dan hari ini kita masih menunggu dua keputusan saringan daripada dua individu di negeri ini.

“Kebanyakan ujian saringan yang kita jalankan sebelum ini adalah daripda kalangan pesakit influenza di hospital malah orang kena tahan (OKT) turut diambil ujian saringan ini.

“Jadi setakat hari ini dua individu yang masih menunggu keputusan terbabit yang mana seorang disaring disyaki daripada kes import dan seorang lagi adalah OKT,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir dalam Majlis Perasmian Penyerahan Kit COVID-19 Sekolah-Sekolah Kawasan Masjid Tanah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Haji Sulaiman Md Ali, semalam.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta Ketua Pegawai Eksekutif Putra Specialist Hospital (Melaka) Sdn. Bhd. Datuk Radhuana Salleh.

Rahmad berkata, penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tetap diteruskan seperti biasa bagi memastikan rakyat dan pelancong mematuhi SOP yang ditetapkan

“Langkah yang diambil menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tetap diteruskan dan kita pastikan setiap SOP itu masih dijalankan seperti biasa,” katanya.

Views:

284
Kongsi :
Previous post Zainuddin Pengarah JSJK Bukit Aman yang baharu
Next post Karnival Penjana Kerjaya ‘Melaka Careertrans 2020’ tawar 4,500 peluang pekerjaan
Ubah saiz-+=