
MELAKA LAKSANA PROJEK MITIGASI BANJIR LEBIH RM161 JUTA DI DUN PAYA RUMPUT
PAYA RUMPUT 27 Rumput – Kerajaan Negeri komited menangani isu banjir kerap melanda beberapa lokasi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput menerusi pelaksanaan beberapa projek mitigasi banjir bernilai lebih RM161 juta.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kos itu merangkumi penyelesaian segera, jangka sederhana dan jangka panjang yang sedang giat dilaksanakan.
Katanya, Kerajaan Negeri memahami kebimbangan penduduk yang berdepan kebimbangan risiko kediaman dinaiki air setiap kali berlaku hujan lebat.
“Antara projek utama ialah kerja menaik taraf sistem perparitan di Taman Rambai Utama dan Taman Rambai Jaya membabitkan kos RM4.69 juta yang dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2028.
“Selain itu, turut dilaksanakan kerja menaik taraf sistem perparitan di Taman Rambai Jaya melibatkan kos sebanyak RM650,000 yang kini berada dalam peringkat penyediaan dokumen tender yang mana pelantikan kontraktor dijangka akan selesai penghujung tahun ini.
“Manakala untuk penyelesaian jangka sederhana pula, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan proses perolehan bagi kerja menaik taraf saliran keluar Ayer Salak di Taman Rambai Utama dengan kos RM2 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bencana Banjir Bersempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Di Dewan Bunga Tanjung, Tanjung Minyak, hari ini.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco Kerajaan Negeri dan Ketua Jabatan.
Menurut Ketua Menteri, bagi penyelesaian jangka panjang yang dilaksanakan Kerajaan Negeri adalah mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Ayer Salak yang dianggarkan menelan kos RM154 juta.
“Paling penting, projek ini dijangka dapat mengurangkan kawasan banjir seluas 286 hektar dan sekali gus mengurangkan risiko banjir yang dihadapi kira-kira 9,800 penduduk di sekitar.
“Dalam usaha ini juga, Perbadanan Melaka (MCORP) akan mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan peruntukan untuk menyelenggara serta membaik pulih kolam takungan air di Kawasan Perindustrian Tanjung Minyak,” katanya.
Jelas beliau, pihak akan meminta semua agensi yang terlibat untuk memberikan perhatian serius terhadap setiap projek yang dilaksanakan ia bagi memastikan warga DUN Paya Rumput khususnya tidak terus dihimpit keresahan setiap kali cuaca hujan lebat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


