Melaka lakukan kajian semula peraturan penjualan minuman keras dan arak

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 9 Jun – Kerajaan Negeri Melaka akan melakukan kajian semula berkaitan peraturan penjualan minuman keras dan arak di negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Haji Sulaiman Md Ali berkata kajian semula itu akan turut melibatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta Pihak Berkuasa Tempatan.

“Kajian semula wajar dilaksana sehingga satu garis panduan baharu diwujudkan demi kepentingan semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sulaiman berkata kerajaan negeri juga mengambil maklum terhadap laporan beberapa akhbar bahasa Cina yang tidak tepat sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat berhubung larangan minum minuman keras dan arak dalam premis makanan dan minuman di negeri itu.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri berharap agar pihak media lebih berhati-hati dalam melaporkan sesuatu isu supaya tidak dimanipulasi oleh pihak tertentu sehingga menimbulkan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat majmuk di negeri ini.

“Merujuk kepada kenyataan oleh YAB Ketua Menteri ketika ditemui media pada 7 Jun 2020 bersamaan hari Ahad, YAB Ketua Menteri memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Melaka tidak membenarkan untuk minum minuman keras dan arak dalam premis makanan dan minuman di negeri ini buat masa ini sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

“Hal ini kerana lesen perniagaan untuk premis makanan dan minuman di negeri ini tertakluk kepada Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Melaka,” katanya.

Menurut Sulaiman langkah itu juga selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan yang masih tidak membenarkan sektor perniagaan seperti pub, kelab malam, pusat karaoke dan pusat hiburan untuk beroperasi pada ketika ini.

“Tindakan Kerajaan Negeri Melaka bertujuan mengekang kes-kes pemandu di bawah pengaruh alkohol yang didapati memandu kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan dan kematian kepada pihak lain,” jelasnya.

Views:

675
Kongsi :
Previous post Surau di pusat beli-belah, R&R, dibuka semula esok – Ismail Sabri
Next post KM puji wajah baharu Melaka Hari Ini
Ubah saiz-+=