
MELAKA, ‘MAKMAL HIDUP’ PELANCONGAN LESTARI
Oleh: Ahmad Khairuman Bin Md Hasim
Penolong Rektor
UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin
Diterbitkan sempena World Tourism Day 2025

SEMPENA sambutan World Tourism Day (WTD) 2025 yang bertemakan ‘Tourism and Sustainable Transformation’, negeri Melaka tampil sebagai contoh unggul dalam mengimbangi pembangunan pelancongan dengan prinsip kelestarian.
Dikenali sebagai bandar bersejarah yang kaya dengan warisan pelbagai budaya, Melaka kini melangkah lebih jauh, bukan sekadar mengekalkan sejarah fizikal, tetapi juga memperbaharui pendekatan terhadap pelancongan yang lebih bertanggungjawab dan mesra alam.
Sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia, Melaka tidak pernah sepi dengan kunjungan pelancong tempatan dan antarabangsa.
Namun, di sebalik bangunan sejarah dan deretan rumah kedai pelbagai tradisi yang menjadi ikon bandar ini, terdapat usaha oleh Kerajaan Negeri Melaka yang sedang mengubah wajah pelancongan di Melaka ke arah yang lebih mampan dan inklusif.
Projek pemulihan Sungai Melaka merupakan antara contoh terbaik kejayaan usaha pelancongan lestari. Sungai yang dahulunya tercemar kini berubah menjadi nadi pelancongan hijau yang menyatukan elemen alam sekitar dan ekonomi.
Pelayaran sungai, laluan pejalan kaki yang bersih, serta persekitaran yang mesra pelancong bukan sahaja menarik kunjungan pelawat, tetapi turut memberi nafas baharu kepada ekosistem bandar.
Produk terkini Eco Cruise Sungai Linggi turut menterjemah pelancongan lestari dengan pengenalan dan aprisiasi terhadap hutan paya bakau serta habitat hidupan liar didalam ekosistem yang serba unik. Produk pelancongan ini juga turut memberi manfaat kepada masyarakat nelayan setempat dengan terciptanya sumber ekonomi baharu kepada mereka melalui platform pelancongan.
Di pelbagai kawasan lain di negeri Melaka, komuniti tempatan semakin aktif memainkan peranan. Program inap desa, hasil kraftangan, serta makanan tradisional yang disediakan menggunakan bahan tempatan menunjukkan bagaimana pelancongan boleh memberi manfaat terus kepada penduduk.
Pendekatan ini bukan sahaja membantu menjana pendapatan, tetapi turut memelihara warisan budaya tidak ketara yang sering terpinggir dalam arus pembangunan moden.
Dari segi angka, sektor pelancongan di Melaka sedang pulih secara berperingkat pasca pandemik dengan pelbagai usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan Negeri Melaka. Walaubagaimanapun segala inisiatif ini tetap memberi fokus kepada Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG) yang memberi keutamaan kepada kualiti pengalaman pelawat dalam kelestarian setiap produk tarikan pelancong, selari dengan aspek penggunaan bertanggungjawab, pembangunan bandar lestari, dan tindakan terhadap perubahan iklim.
Ketika pelbagai aktiviti sempena Hari Pelancongan Sedunia berlangsung di Melaka, mesej yang lebih mendalam harus dihayati iaitu kelestarian bukan sekadar slogan atau kempen tahunan. Ia menuntut komitmen harian yang konsisten daripada semua pihak iaitu pelancong, penduduk, pengusaha, dan pembuat dasar.
Melaka masih dalam perjalanan ke arah kelestarian sepenuhnya. Namun, pencapaian setakat ini menjadikan bandar ini sebagai ‘makmal hidup’ pelancongan lestari yang boleh dicontohi bukan sahaja di Malaysia, malah oleh destinasi warisan di seluruh dunia.
Dalam menuju masa depan pelancongan yang lebih lestari, hijau dan beretika, Melaka membuktikan bahawa perubahan adalah sesuatu yang bukan mustahil malah sedang berlaku.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.