Melaka masih ternanti-nanti pembinaan WTE

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

DUYONG 6 Julai – “Kita bukan sahaja berharap tetapi sudah menunggu sekian lama,” itu kata Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran Perubahan lklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berhubung projek pembinaan loji memproses sisa pepejal kepada tenaga (WTE).

Beliau yang mewakili Kerajaan Negeri Melaka, pihaknya memohon agar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dapat mempercepatkan pembinaan loji tersebut memandangkan tapak pelupusan sedia ada kini sudah semakin tenat.

Menurut Rais, projek WTE itu bukan sahaja telah diluluskan sekian lama, bahkan sebut harga (tender) juga telah dibuka kira-kira dua tahun lalu dan diberikan kepada syarikat yang layak.

“Kita ucapkan jutaan terima kasih kepada KPKT kerana memilih Melaka untuk pembinaan itu tetapi kita masih ternanti-nanti serta menunggu pelaksanaan WTE itu.

“Justeru kita berharap adanya penyelesaian tuntas bagi memastikan pembinaan loji ini disegerakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) @ Taman Bandaraya Bukit Serindit, yang turut dihadiri Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman, hari ini.

Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput dan Penyelaras DUN Sungai Udang berkata, apabila pembinaan loji WTE itu siap kelak ia bukan sahaja dapat membantu menyelesaikan isu tapak pelupusan sampah haram, malah dapat menggantikan tapak pelupusan sedia ada yang jangka hayatnya dijangka sehingga Mac 2026.

“Saya difahamkan apabila siap kelak kapasiti WTE ini mampu menampung sampah 1,050 tan sehari dan berdasarkan data kutipan sampah harian adalah kira-kira 1,300 tan sehari,” katanya.

Selain Melaka, lokasi pembinaan WTE adalah di Kedah (Jabi dan Padang Cina), Johor (Bukit Payung, Seelong, Sedili), Pahang (Jabor – Jerangau, Belenggu), Kuala Lumpur (Rawang), Selangor (Jeram, Tanjung 12, Rawang 2), Pulau Pinang (Pulau Burung), Perak (Lahat, Taiping dan Manjung), Terengganu (Tertak Batu) dan Kelantan (Jedok).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

389
Kongsi :
Previous post Saluran Telegram ‘MyMelaka News’ disambut baik warga pendidik
Next post Hanya durian ‘klon’ dieksport ke China
Ubah saiz-+=