Melaka mohon projek RTB disegerakan, jika tangguh rakyat terkesan – KM

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

DUYONG 8 Disember – Kerajaan Negeri memohon Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneruskan projek rancangan tebatan banjir (RTB) di Melaka khususnya di lokasi-lokasi yang saban tahun berdepan risiko bencana itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata projek RTB di Melaka secara keseluruhannya bernilai RM932 juta melibatkan beberapa kawasan seperti Duyong, Merlimau, Krubong dan Alor Gajah

Sulaiman meminta Kerajaan Pusat untuk mempertimbangkan kesan dan akibat daripada penilaian semula yang dilakukan.

“Masalah nombor satu di Melaka adalah banjir. Kalau kata mahu tangguh atau siasat semula ia akan menjejaskan cadangan kita di peringkat Kerajaan Negeri untuk mengatasi isu banjir.

“Saya mohon Perdana Menteri untuk melihat semula kawasan-kawasan tertentu terutama lokasi pelaksanaan RTB ini agar disegerakan pembinaannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Seri Duyong di Kampung Permatang Duyong, di sini, hari ini.

Bangunan SRA itu dirasmikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata hampir keseluruhan projek RTB di Negeri Melaka sudah memasuki fasa memulakan kerja-kerja awal.

“Jika ingin lakukan siasatan, lakukan segera, kerana jika ditangguh akan banyak kerugian ditanggung rakyat,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion yang dijalankan secara rundingan terus dan didapati tidak teratur diteliti semula serta tidak diteruskan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dilaporkan berkata, pegawai kementerian itu sudah diminta untuk meneliti semula kelulusan yang diberikan bagi memastikan ia mematuhi prinsip ketelusan dan peraturan yang ditetapkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7614
Kongsi :
Previous post Nasi atau mi gulung kekal rasa sejak 15 tahun
Next post Ketua pembangkang tukar atau kekal? tunggu Sidang DUN – KM
Ubah saiz-+=