MELAKA NEGERI KEDUA TERBAIK TAHAP INTEGRITI PERKHIDMATAN AWAM

Masa Membaca:2 Minit, 13 Saat

BANDARAYA MELAKA 28 Julai – Komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh tadbir urus dan membudayakan integriti membuahkan hasil apabila Melaka diiktiraf sebagai negeri kedua terbaik di Malaysia dalam Kajian Tahap Rasuah Perkhidmatan Awam yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pengiktirafan itu membuktikan usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh sistem pentadbiran yang telus, berakauntabiliti serta bebas daripada amalan rasuah.

Menurut beliau, integriti bukan sekadar prinsip yang diangkat dalam pentadbiran negeri, malah menjadi nilai teras yang membentuk cara kerajaan mentadbir, menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat serta membina keyakinan pelabur, komuniti perniagaan dan masyarakat antarabangsa terhadap Melaka.

“Di Melaka, kami percaya tadbir urus yang baik bermula dengan integriti. Ia bukan sekadar prinsip yang kami laungkan, tetapi nilai yang menjadi panduan dalam setiap aspek pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Hasil komitmen itu, lebih 200 pencapaian dan inisiatif telah dilaksanakan bagi memperkukuh tadbir urus, meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam serta mewujudkan pentadbiran yang lebih telus, bertanggungjawab dan responsif kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Sekretariat ASEAN Parties Against Corruption (PAC) Ke-22 Tahun 2026 di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abd Halim Aman; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dan serta kenamaan lain.

Ab Rauf berkata, pengiktirafan sebagai negeri kedua terbaik itu bukan diperoleh secara kebetulan, sebaliknya hasil pelaksanaan pelbagai dasar dan pembaharuan yang dirancang secara menyeluruh bagi mengukuhkan sistem integriti negeri.

Katanya, antara langkah penting yang dilaksanakan ialah memperkenalkan Pelan Antirasuah Melaka 2022–2026 yang memberi fokus kepada mengenal pasti risiko rasuah, memperkukuh langkah pencegahan serta meningkatkan budaya integriti dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.

Selain itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri turut meningkatkan ketelusan dalam proses perolehan awam menerusi Sistem Tender Online Melaka (STOM), sebuah platform digital berpusat yang menguruskan pengiklanan tender dan sebut harga, pendaftaran syarikat, pembelian dokumen serta penyiaran maklumat berkaitan perolehan kerajaan.

Menurutnya lagi, pembudayaan integriti turut diterapkan melalui falsafah pentadbiran negeri yang dirumuskan menerusi slogan ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’, yang menekankan kebijaksanaan dalam membuat keputusan, keberanian bertindak serta keutuhan integriti sebagai asas pentadbiran.

“Kerajaan Negeri akan terus memperkenalkan dasar yang lebih kukuh, menambah baik tadbir urus dan memastikan integriti menjadi panduan dalam setiap keputusan yang dibuat.

“Usaha ini juga selaras dengan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai antara 25 negara terbaik dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah menjelang tahun 2030,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

323
Kongsi :
Previous post PERUNTUKAN KHAS RM25 JUTA TANGANI BANJIR, BAIK PULIH KEROSAKAN