PERUNTUKAN KHAS RM25 JUTA TANGANI BANJIR, BAIK PULIH KEROSAKAN

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

TABOH NANING 28 Julai – Kerosakan direkodkan di 100 lokasi terjejas akibat banjir seluruh Melaka akan dibaik pulih segera menerusi peruntukan khas berjumlah RM25 juta.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, kerja-berka baik pulih dan menangani banjir dilaksanakan berdasarkan kepada laporan diterima daripada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Hameed berkata, peruntukan daripada Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) itu juga akan digunakan bagi kerja-kerja mengurangkan risiko banjir selain pembaikan kerosakan akibat bencana itu.

“Peruntukan khas ini amat terhad justeru kita akan memberi keutamaan kepada lokasi yang memerlukan tindakan segera berdasarkan laporan daripada empat agensi berkaitan. Antara yang perlu diberikan perhatian adalah kerosakan jalan dan tebing runtuh.

“Menerusi ‘task force’ yang ditubuhkan, kerja-kerja ini akan dilaksanakan dalam tempoh kira-kira sebulan dan dijangka selesai pada penghujung Ogos,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Dan Perasmian Tiang Fiber Guna Sama Koridor Utiliti Melaka Sdn Bhd yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Taman Perling Impian, Simpang Ampat, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Datuk Zulkifli Mohd Zin dan Ketua Pegawai Eksekutif KUM, Ismael Hamdan.

Menurut beliau, bagi penyelesaian jangka panjang pula Kerajaan Negeri terus mengadakan perbincangan bersama Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan peruntukan untuk melaksanakan projek tebatan banjir secara menyeluruh.

“Antara cadangan dikemukakan termasuk pembinaan lebih banyak kolam takungan banjir, pelebaran tali air serta terusan utama bagi meningkatkan kapasiti saliran di kawasan berisiko.

“Kita berharap permohonan ini dapat dipertimbangkan kerana penyelesaian jangka panjang memerlukan peruntukan yang besar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

495
Kongsi :
Previous post WRUR PAYA RUMPUT: BUAH-BUAHAN TEMPATAN SEMAI SEMANGAT PERPADUAN SI CILIK