Melaka pecah rekod masak 250 asam pedas serentak

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

BANDA HILIR 23 Julai – Melaka menerima pengiktirafan The Malaysia Book Of Records (MBOR) apabila mencatat sejarah memasak asam pedas terbanyak dan serentak di negara ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah, Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, rekod terbanyak itu dipecahkan apabila seramai 250 peserta memasak masakan warisan itu secara serentak pada Festival Makanan Warisan 2022, di Jalan Kota, Kompleks Warisan Melaka, hari ini.

Jelasnya, kejayaan itu sekali gus memecahkan rekod 135 masakan asam pedas pada 2019 yang dilakukan di negeri ini.

“Apa yang saya lihat tadi, ada yang daripada Muar, Batu Pahat, Johor dan ada juga daripada Kuala Lumpur. Dan saya ucapkan terima kasih kepada penyumbang penyumbang , Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Adabi, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan orang perseorangan yang telah sudi untuk menderma dan seterusnya menjayakan program ini.

“Saya mengharapkan masyarakat di luar sana bersama sama kita datang ke tapak festival ini untuk menikmati dan merasai pelbagai juadah khususnya daripada etnik-etnik yang berada di Melaka.

“Kelainannya yang ada di sini, kita masak secara serentak dengan kuantiti yang sama, dengan jumlah ikan yang sama. Jadi ini kelainannya kerana kalau di sini kita akan semua menggunakan ikan kembung yang telah ditaja LKIM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Muzium Istana Melayu Melaka, di sini hari ini.

AKRAMUDDIN (tengah) menyaksikan proses peserta memasak asam pedas pada Festival Makanan Warisan 2022 di Pekarangan Muzium Rakyat, Banda Hilir. Foto Iqmal Haqim Rosman

Hadir sama, Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Salleh dan tetamu lain.

Terdahulu program dimulakan 10 pagi di Pekarangan Muzium Rakyat, Kompleks Warisan Melaka telah dirasmikan Salhah disaksikan tetamu yang hadir.

Dalam program berlangsung selama tiga hari bermula semalam itu pelbagai gerai pameran disedia dengan menawarkan pelbagai citarasa makanan warisan di Melaka secara percuma kepada orang ramai, selain ada juga yang dijual kepada pengunjung yang berminat.

Program tahunan yang masuk edisi ke-13 penganjurannya itu turut membawakan demonstrasi masakan daripada pelbagai etnik di Melaka selain jualan kraftangan usahawan kraf tempatan, busana warisan dan permainan tradisional.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1592
Kongsi :
Previous post Cuaca buruk diramal landa Pantai Barat, Selatan Semenanjung sehingga 25 Julai
Next post Ibu bapa perlu bersama pihak sekolah bentuk kemenjadian pelajar – KM
Ubah saiz-+=