Melaka perlu kolam takungan banjir seluas 60 hektar

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 19 Mei – Kolam takungan banjir di Melaka perlu diperluaskan sehingga 60 hektar bagi mengatasi masalah banjir kilat yang sering melanda negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Seri Idris Haron berkata kapasiti kolam takungan sedia ada di Sungai Putat seluas sembilan hektar tidak mampu menampung taburan hujan yang tinggi selain saliran air sungai akibat fenomena air pasang.

Katanya, ditambah dengan keadaan fenomena angin monsun serta kerosakan pada salah satu pintu baraj di Sungai Melaka antara faktor mengakibatkan air melimpah ke kawasan kediaman berhampiran sungai di daerah Melaka Tengah.

Beliau berkata, cadangan menaik taraf kolam terbabit telah dikemukakan sejak lima tahun lalu namun belum dapat dilaksanakan.

“Jadi, cadangan sejak enam tahun lalu adalah kita menyediakan kolam takungan atau ‘flood mitigation’ sebagaimana kolam takungan 60 hektar, maknanya enam kali (ganda) daripada kawasan di belakang kita ini (Kolam Takungan Banjir Sungai Putat).

“Ini mungkin akan memberi satu gambaran kepada kita bahawa penduduk tidak boleh tidur lena dengan kolam takungan seluas sembilan hektar.

“Maknanya satu per enam daripada kapasiti yang ada, jadi cadangan daripada pihak yang melakukan kajian tersebut ialah kawasan ini memerlukan kawasan seluas 60 hektar bagi menampung jumlah hujan seperti semalam,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Seri Idris Haron

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di Kolam Takungan Banjir Sungai Putat di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Idris berkata, projek menaik taraf kolam terbabit terkandung dalam agenda kerajaan negeri menerusi Rancangan Melaka Bebas Banjir 2035.

“Kita memerlukan kira-kira RM350 juta untuk melaksanakan rancangan berkenaan termasuk menaik taraf kolam takungan itu,” katanya.

Setakat jam 4 petang tadi, seramai 669 mangsa membabitkan 149 keluarga di beberapa kawasan yang terjejas banjir di daerah Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah dipindahkan ke sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1809
Kongsi :
Previous post ‘Sudahlah penat, rugi pula RM10,000’ – Mangsa banjir
Next post Tiada kompromi pihak salah guna, palsukan dokumen rentas negeri, daerah- KPN
Ubah saiz-+=