‘Sudahlah penat, rugi pula RM10,000’ – Mangsa banjir

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

AYER MOLEK 18 Mei – Belum pun hilang rasa penat mengemas rumah akibat banjir kilat hujung tahun lalu, penduduk sekali lagi diuji musibah sama.

Penduduk Rumah Awam Ayer Molek, Sawiyah Mansor, 62 berkata, kediaman di kawasan itu sering dinaiki air beberapa kali saban tahun selepas hujan lebat berterusan selama beberapa jam namun tidak naik setinggi hari ini.

Katanya, dia dan suami, Mansor Mohamad, 70 mengubah suai dengan menaikkan sedikit ketinggian rumah pada tahun 2007 dengan harapan air tidak masuk ke dalam rumah namun hampa kerana air sungai melimpah juga hingga memusnahkan banyak peralatan elektrik rumah.

“Banjir kilat sebelum ini berlaku pada November lalu namun tidaklah seteruk kali ini yang airnya naik hingga paras lutut.

“Kira-kira jam 12 tengah malam tadi, hujan lebat tetapi tiga jam kemudian, air laju masuk dalam rumah dan kami hanya sempat naikkan peti ais dengan meletakkan tiga batu pada kaki peti ais.

“Lepas ini, makcik rasa sudah tidak perlu beli kelengkapan perabot dah sebab setiap kali banjir habis rosak semua barang rumah hingga mencecah kerugian hampir RM10,000 termasuk menyewa lori untuk buang perkakas rumah yang rosak,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini hari ini.

SARIPAH melihat keadaan rumahnya di Rumah Awam Ayer Molek yang dinaiki air sejak awal pagi tadi.

Bagi Aris Said, 56 bencana itu sering melanda kediamannya setiap tahun menyebabkan dirinya dan isteri, Saripah Hasim, 52 serta lima anak sudah terbiasa dengan keadaan itu.

“Sudah terbiasa berdepan dengan masalah banjir, saya dan isteri selalu bersihkan ketika air masih bergenang di permukaan lantai supaya bila air sudah kering nanti, tak adalah penat sangat nak sental lantai kerana sudah disaluti lumpur,” katanya yang sudah 29 tahun mendiami kediaman itu.

Dalam pada itu, penduduk Kampung Pengkalan Minyak, Laila Ismail, 58, berkata air memasuki rumahnya terlalu cepat hingga dia tidak mampu menyelamatkan baju dan beberapa peralatan rumah.

KELUARGA Laila yang ditempatkan di PPS SK Ayer Molek di sini.

Katanya, dia anak-beranak seramai lapan orang yang dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek pasrah dengan kejadian berlaku.

“Tadi, suami balik sekejap tengok ke rumah, paras air masih pada tahap lutut.

“Selepas ini, malas hendak beli barang baru pakai sahaja apa yang ada,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

832
Kongsi :
Previous post ‘Pulanglah Adik Ju’
Next post Melaka perlu kolam takungan banjir seluas 60 hektar
Ubah saiz-+=