‘Saya menyanyi tak sedap mana, tapi….’

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 13 Mei – Penyanyi lagu asli yang kini popular dengan lagu Senandung Anak Melaka Yasser Fikri tidak pernah menganggap dirinya sebagai penghibur yang bersuara emas.

Ini kerana, baginya, di Negeri Melaka ada lebih ramai penyanyi bersuara lebih sedap dan lunak, namun masih belum cukup dikenali.

Namun, anak jati Klebang itu bersyukur kerana keletahnya dalam menyanyikan lagu-lagu berentak irama Malaysia dan dondang sayang dengan cara tersendiri disukai orang sehingga diberi rezeki merakamkan lagu sendiri di bawah label Luncai Emas.

“Saya menyanyi memang tak sedap mana. Saya sendiri mengakuinya kerana ada lebih ramai (penyanyi yang lebih sedap).

“Tapi mungkin cara saya membawakan lagu dengan berseloroh dan gaya bersahaja membuatkan orang lebih nampak saya.

“Prinsip saya mudah, suara tak sedap tidak mengapa, yang penting orang ramai terhibur. Bila orang terhibur saya akan dapat pahala,” katanya ketika bersiaran di Podcast Melaka Hari Ini, ‘Mana Lagi, Melaka Ler’ di Studio Melaka TV.

Ditanya sama ada akan terus dikenali sebagai penyanyi lagu-lagu tradisional, Yasser berkata, dia bertekad mahu terus memperjuangkan genre lagu berkenaan agar ia tidak luput ditelan zaman dan boleh diwarisi generasi akan datang.

“Salah seorang ‘guru’ saya pernah berpesan agar lagu-lagu lama seperti dondang sayang jangan ditinggalkan kerana ini lagu kita, lagu Negeri Melaka.

“Jadi nasihat itu saya pegang hingga sekarang dan saya berharap lebih ramai akan terus menghargai lagu berentak asli dan irama Malaysia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

123
Kongsi :
Previous post JIM, KDN teroka penggunaan kod QR di pintu masuk negara
Next post Ubah sikap, mentaliti kelas ketiga
Ubah saiz-+=