Melaka pertimbang benarkan surau jauh dari masjid laksana solat Jumaat

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

SERKAM 12 November – Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan kebenaran kepada beberapa surau untuk melaksanakan solat Jumaat mengikut kesesuaian tertentu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, pihaknya meminta Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk menilai semula permohonan yang diterima daripada beberapa kariah di negeri ini.

Hal itu, katanya, bagi memudahkan urusan jemaah di sesebuah tempat yang mungkin berlaku kepadatan atau jarak masjid lebih jauh.

“Kita akan lihat semula permohonan kepada surau-surau ini untuk membenarkan pelaksanaan solat Jumaat diadakan tapi ia bergantung kepada kesesuaian sesuatu kariah itu.

“Mungkin kita akan benarkan sekiranya jarak masjid dan surau di sesebuah kariah itu berada pada jarak yang jauh dan jika berlakunya penambahan penduduk kita akan buat pengecualian itu untuk pihak surau melaksanakan solat Jumaat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Masjid Baharu Kampung Serkam Darat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat dan Setiausaha MAIM, Mohd Ikram Ibrahim.

IMG_20221112_182902_842
SERKAM 12 November – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali melakukan simbolik pecah tanah menggunakan jentera sempena Majlis Pecah Tanah Masjid Baharu Kampung Serkam Darat, Jasin. Foto Iqmal Haqim Rosman

Bagaimanapun, Sulaiman berharap agar semua jemaah tetap menjadikan masjid sebagai tempat utama untuk menunaikan solat Jumaat bagi bertujuan mengimarahkan institusi itu di kariah masing-masing.

“Kita akan laksanakan sebab ada aduan diterima, kalau surau ini tidak ditutup (untuk solat Jumaat) kita khuatir nanti masjid akan kekurangan jemaah, jadi eloklah kita mengimarahkan masjid terlebih dahulu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2118
Kongsi :
Previous post Kejar saham akhirat bantu bina Surau Al-Jannah Taman 1 Krubong
Next post Masjid baharu Kampung Bukit Tembakau siap 2024
Ubah saiz-+=