Sorting by

×

MELAKA PUSAT KEMBANGKAN PRODUK PELANCONGAN NEGARA

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 26 Ogos – Melaka bakal menjadi pusat mengembangkan industri dan produk pelancongan negara kepada dunia bersempena Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi acara pelancongan bertaraf dunia itu, Kerajaan Negeri selaku tuan rumah komited untuk memperkenalkan kepelbagaian Malaysia baik dalam sudut seni dan budaya, bahkan makanan tradisi.

Untuk itu, jelas beliau, makanan-makanan ikonik seluruh negeri seperti nasi kandar Pulau Pinang, nasi kerabu Kelantan, nasi dagang Terengganu, laksa Johor dan lain-lain lagi akan dipersembah dan dijamu kepada delegasi pelancongan dunia yang hadir pada WTD dan WTC 2025 pada 27 hingga 29 September depan.

“Selain itu, kita juga akan menjadikan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh sebagai lokasi bagi padanan perniagaan bersempena WTD dan WTC 2025, di mana ia boleh menjadi tapak untuk memperkenalkan produk usahawan dari seluruh negara di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung di Selamat Pagi Malaysia menerusi segmen Melaka Pentas Dunia: Dari ASEAN ke Pelancongan Global Bersama YAB Ketua Menteri Melaka, hari ini.

Selain makanan, Ab Rauf berkata, permainan tradisional seperti konda kondi dan dam aji juga akan dipersembahkan menerusi WTD 2025 di mana ia bukan sahaja dijadikan cenderamata eksklusif, bahkan bakal diangkat menjadi satu permainan bertaraf dunia.

Jelas beliau, ia memandangkan kedua-dua permainan itu telah dinaik taraf dengan menampilkan ciri-ciri moden menerusi kajian terperinci yang dijalankan, sekali gus berupaya mengangkat permainan tradisional negara ke satu tahap lebih tinggi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

429
Kongsi :
Previous post MISI KUMPUL 10,000KG BOTOL PLASTIK
Next post TAPEM SEDIA BANTU PELAJAR KURANG BERKEMAMPUAN