
MELAKA RAIH TIGA ANUGERAH UTAMA TOURISM INDUSTRY AWARD 2025
AYER KEROH 18 Ogos – Melaka terus mengukir nama diperingkat antarabangsa selepas meraih tiga kategori utama pada Tourism Industry Award 2025 anjuran Malaysia International Tourism Development Association (MiTDA).
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kemenangan itu mengangkat Melaka ke pentas dunia menerusi pencapaian pelbagai sektor pelancongan negeri.
Katanya, pencapaian itu menjadi pemangkin untuk memperluaskan lagi daya saing Melaka dalam sektor pelancongan global, khususnya menjelang penganjuran Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) dan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
“Alhamdulillah Melaka berjaya meraih kemenangan dalam tiga kategori utama iaitu Best Melaka UNESCO Heritage Site Promotion oleh Bahagian Promosi Pelancongan Melaka (BPP); Best Iconic Tourist Attraction oleh Menara Taming Sari dan Best City Budget Hotel oleh Queespark Lovita Hotel,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Bagi Bulan Ogos 2025 dan Kibar Jalur Gemilang Bersama Penjawat Awam Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, barisan Exco, Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.
Ab Rauf turut menegaskan, pencapaian yang diraih adalah hasil kerjasama erat semua pihak termasuk jabatan kerajaan, penggiat industri serta rakyat Melaka sendiri yang terus menyokong agenda pelancongan negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.