Melaka salur RM2.5 juta bantu usahawan mikro

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 24 Jun – Sebanyak RM2.5 juta telah diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk terus berkembang sejak tahun 2021 hingga 2023.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, bantuan itu disalurkan menerusi Dana Bantuan Kasih Niaga yang diuruskan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri Melaka.

Katanya, bantuan tersebut disalurkan kepada 2,500 usahawan PMKS bersaiz mikro dengan jualan tidak melebihi RM50,000.

“Sebanyak RM2 juta diperuntukkan dari tahun 2021 hingga 2022, seramai 2,000 usahawan mendapat manfaat dan menerima bantuan sebanyak RM1,000 diberikan secara one-off.

“Manakala bagi2023, tambahan dana sebanyak RM500,000.00 telah diperuntukkan kepada seramai 500 usahawan.

“Kerajaan Negeri akan memastikan peruntukan yang disalur kepada PMKS Negeri Melaka ini dapat memberi manfaat kepada seluruh ekosistem keusahawanan di Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Minggu PMKS 2023 Zon Selatan bersempena Minggu Usahawan Negara di Pasar Raya Mydin MITC, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem dan Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Tuminah Kadi @ Mohd Hashim.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Usahawan) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Zamri Salleh; Timbalan Ketua Eksekutif SME Corp. Malaysia Zaky Moh dan lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, di Melaka terdapat 1.2 juta penubuhan perniagaan dan daripada jumlah itu, 3.5 peratus merupakan PMKS.

Katanya, Kerajaan Negeri akan terus memperkasa PMKS agar kumpulan berkenaan terus berdiri teguh, berkembang maju dan kekal berdaya saing dalam menjadi tunjang ekonomi negara.

“Oleh itu, saya berharap seluruh agensi keusahawanan negeri dapat berganding bahu bersama dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan setiap bantuan disalurkan dapat memberi impak maksimum kepada usahawan-usahawan di Negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2956
Kongsi :
Previous post Jemaah haji Malaysia bergerak ke Arafah Isnin ini
Next post MBI pasang lebih 1,000 perangkap tikus di pasar, medan selera
Ubah saiz-+=