Melaka sedia 1,160 rumah skim sewa beli

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

MERLIMAU 20 Mei – Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Perumahan Melaka (LPM) telah menyediakan sebanyak 1,160 unit rumah skim sewa beli (rent to own) bagi membantu rakyat negeri ini memiliki rumah sendiri.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, daripada jumlah tersebut 50 unit adalah Rumah Sejahtera yang kini dikenali sebagai My Beautiful New Home (MyBNHome) di Lipat Kajang, di sini.

Katanya, LPM akan mengenal pasti pemohon yang benar-benar layak untuk menerima keistimewaan memiliki rumah dari skim terbabit dan antara syaratnya adalah golongan B40 yang berpendapatan rendah di bawah RM3,000.

“Setakat ini konsep skim sewa beli rumah ini memberi manfaat kepada 1,110 penerima rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan 50 penerima rumah MyBNHome ini.

“Dengan skim sewa beli, pemohon yang layak hanya perlu membayar sewa rumah dengan kadar rendah RM200 dan RM300 sebulan selama tempoh 15 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Sejahtera Lipat Kajang, di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh; Pengarah Eksekutif LPM, Mohd Salleh Hamidom serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, projek Rumah Sejahtera tersebut dilaksanakan pada tahun 2017 namun tergendala dan berjaya disiapkan pada tahun ini.

Jelasnya, rumah berkeluasan 750 kaki persegi dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air itu pada awalnya ditawarkan dengan harga RM40,000 seunit namun sebahagian besar pemohon didapati tidak layak untuk mendapatkan kelulusan pinjaman bank dan dari situ wujudnya skim sewa beli.

“Ini merupakan satu inisiatif Kerajaan Negeri dan sistem ini juga dilaksanakan sebagai suatu bentuk kawalan pemilikan hartanah agar penerima memiliki rumah ini tidak menyalah gunakan keistimewaan yang diberi.

“Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan secara berterusan skim tersebut di negeri ini dalam meringankan beban rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5105
Kongsi :
Previous post Umat Islam perlu berhati-hati dengan tawaran badal Haji, elak jadi mangsa penipuan – TH
Next post Kasari dua kanak-kanak: Pengasuh didakwa esok
Ubah saiz-+=