Melaka sedia angkat warisan Naning jika mereka bersatu hati – EXCO

Masa Membaca:2 Minit, 28 Saat

REMBIA 20 Mac – Pentadbiran warisan adat perpatih Naning di Melaka akan diangkat sekiranya seluruh pewaris adat itu di negeri ini berpegang teguh dan bersatu hati membentuk pentadbiran dalam perpaduan yang kukuh.

EXCO Warisan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong pemerkasaan adat istiadat di negeri ini.

Bagaimanapun, katanya, terdapat beberapa kemelut yang dihadapi pentabiran Naning sebelum ini membuatkan ia sukar diketengahkan.

“Kita sokong semua permintaan adat resam warisan dan kebudayaan di Melaka ini tapi dengan syarat mereka kena bersatu, kalau mereka bertelingkah antara mereka tentang masalah siapa yang nak dilantik sebagai Yang Dipertuan Naning dan tidak ada perpaduan, bagaimana kita nak sokong?

“Kita pesan kepada mereka perlu bersatu hati dan jangan bertelingkah sesama sendiri kerana nanti jika kerajaan negeri ambil langkah menyokong perkara ini untuk diangkatkan, sesetengah lagi pihak pula tidak berpuas hati dan akan menentang kerajaan di mana ini perkara yang kita tidak mahukan.

“Kita tidak boleh pandang satu pihak saja dan abaikan yang lain kerana dalam pentadbiran Naning ini mereka bukan satu fahaman tapi ada tujuh fahaman dan pendapat, jadi yang mana satu kerajaan negeri nak dengar dan sebab itulah kita tak boleh ‘take one side and deny another,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Program Kayuhan Basikal Gegau Melaka Gegau 2.0 diadakan di JAPERUN Rembia di sini, hari ini.

EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis. Foto Iqmal Haqim Rosman

Pada masa sama, beliau berkata usaha mengetengahkan adat itu agar tidak ketinggalan sudah lama dilaksanakan bagaimanapun ia terhalang berikutan terdapat pelbagai fahaman yang tidak diselesaikan dalam pentadbiran warisan itu.

“Warisan ini kita akui dan dah cuba banyak kali untuk menghidupkan warisan Naning, tapi bila kita buat banyak pula pihak lain membantah, seolah dia kata kalau buat benda seperti ini dia harus ada saya (sesetengah pihak), tapi bukan dia (pihak lain), jadi bagaimana saya nak buat?

“Ini semua masalah sikap dan kita tidak pernah menolak semua warisan dan kebudayaan ini malah mahukan semuanya kehadapan dan ini berpunca mereka gaduh antara mereka, berpecah belah dan tiada perpaduan di situ.

“Kita sarankan kepada semua pentadbiran Naning di Melaka ini untuk perlu duduk satu meja dan bincang bulat-bulat dengan satu musyawarah yang cukup kuat di mana ia melibatkan seluruh pentabiran atau persatuan atau jawatankuasa sehinggalah wakil-wakil mereka perlu bergabung dan wujudkan perpaduan ini untuk kita angkat Naning ini,” katanya.

Kelmarin, Melaka Hari Ini melaporkan Lembaga Adat Naning ke- 22 akan mengadakan rundingan bersama kerajaan negeri Melaka dalam tempoh terdekat bagi memohon pertimbangan untuk mengiktiraf pelantikan Datuk Naning yang dilantik melalui institusi terbabit.

Pembesar Waris Perut Ketiga Datuk Paduka Seri Maharaja, Kamaruddin Manap berkata, rundingan tersebut bagi meminta kerajaan negeri mengiktiraf Adat Naning yang ke-22 mengikut Perlembagaan Negeri Fasal 34 di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri Melaka.

Katanya, perkara itu turut terkait di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia berdasarkan jadual kelapan, fasal ke-19.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2179
Kongsi :
Previous post Hadi Awang positif COVID-19
Next post Lelaki ditemukan lemas di air terjun
Ubah saiz-+=