Melaka sedia atur sekolah jadi pusat vaksin murid

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

PAYA RUMPUT 12 Feb – Jabatan Pendidikan Negeri Melaka bakal mengatur beberapa strategi bersama Jabatan Kesihatan Negeri bagi melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) di negeri ini.

EXCO Pendidikan negeri, Datuk Rais Yasin berkata antara strategi yang dilihat berkesan adalah dengan pelaksanaan unit bergerak PICKids di sekolah-sekolah.

Menurutnya, melihat kepada sentimen ibu bapa, ramai di antara mereka lebih yakin sekiranya pemberian vaksin kepada anak-anak diberikan di peringkat sekolah.

“Saya percaya ibu bapa akan lebih yakin dengan pelaksanaan di sekolah, sekarang ini kalau divaksin kita ada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam yang ibu bapa perlu bawa dan pergi sebagainya.

“Jadi, antara inisiatif yang baik ialah kita buat di sekolah ia akan lebih cepat dan mendapat pemantauan rapi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Mahir Tutor di Sekolah Menengah Kebangaaan (SMK) Tun Haji Abdul Malek, di sini, hari ini.

Rais bagaimanapun meminta kerjasama daripada semua pihak untuk membantu melancarkan program ini di sekolah demi keselamatan anak-anak daripada ancaman COVID-19.

“Kita mahu pastikan keseluruhan 98,600 kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun di negeri menerima vaksin segera.

“Jadi, ia memerlukan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa, guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di semua sekolah sama ada seliaan kementerian pendidikan mahupun swasta,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (CITF-C), Datuk Dr Noor Azmi Ghazali memaklumkan Sebanyak 1,055 buah sekolah telah dikenal pasti untuk dijadikan PPV PICKids yang bermula beroperasi selewat-lewatnya Isnin depan.

Jelasnya, ia adalah satu lagi pendekatan yang akan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan bagi memudahkan dan mempercepatkan lagi proses pemberian vaksin kepada murid sekolah rendah iaitu PPV Sekolah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1258
Kongsi :
Previous post Kerajaan diminta pertimbang tangguh gaji minimum, kenaikan tarif elektrik – MBAM
Next post Penemuan tapak kaki harimau, Perhilitan pastikan tiada ancaman
Ubah saiz-+=