Melaka sedia gubal RUU Anti Lompat Parti ADUN jika Perlembagaan Persekutuan dipinda

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

SERI NEGERI 3 Mac – Kerajaan negeri menyambut baik cadangan pelbagai pihak termasuk wakil pembangkang yang mahu Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti dikuatkuasakan di Melaka membabitkan kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, perkara itu bagaimanapun hanya dapat dilaksanakan sekiranya ia dilaksanakan di peringkat Persekutuan terlebih dahulu, termasuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan negeri sentiasa ambil maklum berhubung cadangan dan pindaan berhubung RUU Anti Lompat Parti.

“Cadangan gubal RUU itu bagaimanapun hanya dapat dilaksanakan sekiranya kerajaan Persekutuan melaksanakan dahulu undang-undang dengan menetapkan Ahli Parlimen hilang kelayakan sekiranya melompat parti.

“Jika itu dilaksanakan di peringkat persekutuan, maka di peringkat negeri juga ADUN boleh hilang kelayakan.

“Justeru cadangan menggubal RUU itu akan dilaksanakan (di peringkat negeri) sekiranta terdapat pindaan dalam perlembagaan persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan penangguhan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, hari ini.

Dalam ucapannya itu, beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam persidangan kali ini.

Ucapan terima kasih khususnya diberikan kepada Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam yang merasmikan persidangan berkenaan.

“Pujian juga selayaknya diberikan kepada Speaker Datuk Wira Ibrahim Durum yang cemerlang mengendalikan sidang dengan teratur dan tertib mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Tidak dilupa juga kepada semua ADUN yang terlibat baik di pihak kerajaan mahupun bukan kerajaan dalam sesi persidangan kali ini.

“Insya-Allah, segala pandangan dan hujah yang dilontarkan akan kita teliti sebaiknya. Mana yang baik dan sesuai akan dijadikan panduan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

691
Kongsi :
Previous post Tangguh umrah: 19,000 jemaah terlibat – Nancy Shukri
Next post Polis tumpaskan tiga aktiviti lombong kripto bernilai RM60,000
Ubah saiz-+=