Melaka sedia khidmat hantar kontena guna jalan laut

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 14 Ogos – Melaka menjadi negeri pertama menyediakan perkhidmatan ‘feeder service’ iaitu penghantaran kontena menggunakan jalan laut dari Pelabuhan Tanjung Bruas ke Pelabuhan Klang.

Perkhidmatan itu sekali gus menjadi titik permulaan baharu dalam merancakkan kegiatan maritim, selain memangkin pertumbuhan ekonomi Negeri Melaka.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka Berhad Datuk Ginie Lim Siew Lin berkata, sebagai agensi pemudah cara dalam bidang perniagaan dan pelaburan, pihaknya mengambil inisiatif untuk menguar-uarkan perkhidmatan tersebut kepada pemain industri terlibat.

Katanya, menerusi sesi dialog bersama penyedia perkhidmatan dan pemain industri, inisiatif tersebut mendapat sambutan cukup menggalakkan apabila disertai kira-kira 65 buah syarikat dan 86 wakil dari seluruh Melaka.

“Menerusi perkhidmatan terbaharu ini, Invest Melaka mempunyai peranan untuk menjemput pemain industri Negeri Melaka termasuk daripada Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan Dewan Perniagaan di negeri ini untuk diberi taklimat dan penerangan mengenai perkhidmatan ini.

“Ini kerana perkhidmatan ‘feeder service’ dari Pelabuhan Tanjung Bruas ke Pelabuhan Klang ini adalah yang terbaharu dan pertama dikelolakan di antara pelabuhan di seluruh negara.

“Jadi, kita percaya, inisiatif ini menjadi langkah penting dalam merancakkan kegiatan ekonomi, selain ia juga selari dengan hasrat Kerajaan Negeri mewujudkan koridor ekonomi baharu yang dikenali sebagai Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Majlis Penutup ‘Dialogue Program With Melaka Shippers & Manufacturers’ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Tanjung Bruas Port Sdn Bhd Md Derick Basir.

Sementara itu, Md Derick memaklumkan perkhidmatan itu diperkenal memandangkan kira-kira 100,000 kontena dijana dalam setahun yang oleh kilang-kilang seluruh Melaka.

Katanya, sebelum ini, kontena tersebut dihantar menggunakan jalan darat oleh lori ke Pelabuhan Klang sebelum dieksport ke merata dunia.

“Kelebihan perkhidmatan ini ialah ia dapat mengurangkan pelepasan karbon daripada penghantaran jalan darat dan pada masa sama ia juga dapat membantu mengurangkan kesesakan di jalan raya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3968
Kongsi :
Previous post Kanak-kanak didera, waris layak menjaga belum dimuktamadkan
Next post Mangsa perlu berani lapor kes gangguan seksual – KPWKM
Ubah saiz-+=