Sorting by

×

MELAKA SEDIA MODUL PENDIDIKAN ISLAM UNTUK MURID BERKEPERLUAN KHAS

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

SERI NEGERI 24 Ogos – Kerajaan Melaka terus memartabat nilai-nilai Islam menerusi pelbagai inisiatif, termasuk dalam aspek pendidikan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, di bawah pentadbiran beliau, Kerajaan Negeri berpegang teguh pada prinsip bahawa tiada seorang pun umat Islam di Melaka tercicir atau terpinggir daripada hak untuk mendapatkan pendidikan Islam yang sempurna.

Oleh sebab itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) telah mengumumkan pelaksanaan Modul Khas Pendidikan Islam untuk Murid Berkeperluan Pembelajaran Khas (MBPK) kategori Masalah Pembelajaran.

“Modul ini akan dimulakan di semua Sekolah Agama Kerajaan Negeri bermula pada sesi persekolahan tahun 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Ucapan Taat Setia Ketua Menteri Melaka pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Rasmi Hari Jadi Ke-76 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ketua Menteri memaklumkan, melalui inisiatif pemuliaan al-Quran, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah membiayai pembinaan dua buah mesin relau berjumlah RM50,000, manakala JAIM pula memperuntukkan RM30,000 bagi menaik taraf Pusat Pemuliaan Al-Quran di Jasin.

“Selain itu, pelbagai lagi inisiatif lain telah digerakkan dalam usaha memartabat nilai-nilai Islam antaranya Program Pemerkasaan Huffaz, melalui inisiatif pemberian elaun bulanan kepada para huffaz yang berdaftar dengan JAIM sebagai bentuk pengiktirafan pewaris ilmu Al-Quran.

“Seterusnya, Kerajaan Negeri melalui JAIM juga telah melancarkan Program Hafazan Dewasa yang kini melibatkan lebih 40 buah masjid terpilih di seluruh Melaka,” tambah beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

450
Kongsi :
Previous post TIGA BULAN, MELAKA REKOD NILAI PELABURAN RM855.63 JUTA
Next post 7 AGENDA PACU MELAKA LESTARI, MAJU – KM