MELAKA SOKONG DASAR PELUANG KEDUA INSOLVENSI

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 31 Julai – Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan Jabatan Insolvensi Malaysia dalam memperluas kesedaran, memperkasakan penyampaian maklumat serta memastikan lebih ramai rakyat mendapat akses kepada khidmat nasihat dan bantuan disediakan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, usaha ini akan diperkasakan melalui rangkaian pentadbiran negeri sehingga ke peringkat akar umbi agar maklumat dapat disampaikan dengan lebih meluas, khidmat nasihat lebih mudah diakses dan rakyat yang memerlukan tidak tercicir daripada menerima bantuan.

Mengulas lanjut Ketua Menteri berkata, bagi Kerajaan Negeri Melaka kekuatan sesebuah pentadbiran bukan hanya terletak pada dasar yang diperkenalkan, tetapi turut meliputi keupayaannya untuk menyentuh kehidupan rakyat.

“Setiap ikhtiar yang dilaksanakan mestilah memberi harapan, membuka peluang dan membawa penyelesaian kepada mereka yang memerlukan.

“Inilah semangat Gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) iaitu memastikan tiada suara yang dipinggirkan, tiada golongan yang tercicir dan tiada rakyat yang dibiarkan berhadapan dengan kesukaran tanpa perhatian serta sokongan yang sewajarnya,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi di sebuah pasar raya, di sini, hari ini.

Hadir sama Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat, Timbalan Ketua Pengarah Insolvensi Abu Bakar Manat serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, berdasarkan statistik Jabatan Insolvensi Malaysia setakat Jun 2026, terdapat lebih 91,000 kes kebankrapan yang masih belum dilepaskan di seluruh negara dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,877 kes direkodkan di Negeri Melaka.

“Atas sebab inilah, karnival ini amat penting ia bukan sekadar membawa perkhidmatan lebih dekat kepada rakyat, malah menjadi platform terbaik untuk meningkatkan kefahaman masyarakat, menghapuskan stigma terhadap individu bankrap dan membuka ruang kepada mereka yang benar-benar ingin membina semula kehidupan.

“Kerajaan Negeri Melaka menyokong sepenuhnya Dasar Peluang Kedua diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana percaya bahawa satu kegagalan kewangan tidak seharusnya menentukan seluruh masa depan seseorang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

205
Kongsi :
Previous post DUN PAYA RUMPUT REKOD PENYELESAIAN TERTINGGI ISU PERUMAHAN RAKYAT
Next post MENARA TAMING SARI TAMPIL LEBIH ‘SEGAR’, DIBUKA SEMULA 1 OGOS