DUN PAYA RUMPUT REKOD PENYELESAIAN TERTINGGI ISU PERUMAHAN RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

PAYA RUMPUT 31 Julai – Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput merekodkan antara kawasan penyelesaian tertinggi bagi isu perumahan rakyat hasil kerjasama pelbagai agensi Kerajaan Negeri sepanjang tahun ini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, setakat tahun ini lebih empat rumah baharu telah diluluskan untuk dibina di kawasan itu dengan setiap sebuah rumah bernilai kira-kira RM70,000.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata, selain pembinaan rumah baharu sebanyak 15 rumah turut diluluskan untuk kerja baik pulih dengan nilai bantuan sekitar RM20,000 bagi setiap kediaman.

“Antara DUN yang paling banyak menyelesaikan isu-isu perumahan ialah DUN Paya Rumput sendiri yang mana tahun ini sahaja kita meluluskan lebih empat rumah baharu, manakala kerja baik pulih pula melebihi 15 buah rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Sayang Rakyat dan Bandaraya Penyayang sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Paya Rumput, di Kampung Tanah Merah Jaya, Krubong di sini, hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Rais berkata, kejayaan itu termasuklah membabitkan kelulusan pembinaan rumah baharu milik seorang penduduk di Kampung Krubong yang menunggu lebih sedekad sebelum permohonannya berjaya diselesaikan.

“Usaha berterusan Kerajaan Negeri melalui pelbagai agensi membuktikan komitmen dalam memastikan rakyat yang benar-benar memerlukan menerima pembelaan sewajarnya dan ini diterjemahkan dalam gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRA),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

346
Kongsi :
Previous post MELAKA PERUNTUK RM850,000 PERKASA GOLONGAN OKU
Next post MELAKA SOKONG DASAR PELUANG KEDUA INSOLVENSI