
MELAKA PERUNTUK RM850,000 PERKASA GOLONGAN OKU
DUYONG 31 Julai – Sebanyak RM850,000 diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri menerusi Inisiatif Pemberdayaan Golongan Sasar bagi memperkasa komuniti orang kurang upaya (OKU) meliputi aspek kebajikan, terapi, latihan kemahiran serta pembangunan sukan para.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, peruntukan berkenaan disalurkan menerusi gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) sepanjang tiga tahun beliau menerajui pentadbiran negeri.
Menurutnya, inisiatif itu merangkumi Program Mesra Orang Kurang Upaya untuk atlet para SUKMA, latihan kemahiran secara percuma serta penambahbaikan peralatan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).
“Usaha memperkasa warga OKU tidak terhenti dengan penganjuran karnival, sebaliknya diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada 39,261 warga OKU berdaftar di Negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Pertandingan Sukan dan Bakat OKU Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 di Stadium Tun Fatimah Bukit Serindit, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan.
Turut hadir Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem serta Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka Halyjah Muhamad.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri turut meningkatkan subsidi autisme secara one-off daripada RM500 kepada RM1,000 bagi membantu meringankan beban keluarga yang mempunyai anak istimewa.
“Peningkatan subsidi ini melibatkan peruntukan RM440,000 yang memberi manfaat kepada 440 penerima di seluruh negeri.
“Semua usaha ini dibuat kerana saya sedar, di sebalik setiap anak istimewa, ada ibu dan ayah yang berjuang tanpa mengenal penat atau lelah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


