MELAKA TAMBAH DUA LAGI PUSAT TERAPI OKU, OPERASI BERMULA SEPTEMBER

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

DUYONG 31 Julai – Kerajaan Negeri memperluaskan akses perkhidmatan terapi kepada golongan orang kurang upaya (OKU) menerusi pembukaan dua pusat terapi baharu di Alor Gajah dan Duyong yang dijangka mula beroperasi September ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penambahan kemudahan itu adalah antara inisiatif Kerajaan Negeri dalam memastikan lebih ramai anak OKU mendapat sokongan terapi lebih dekat, tersusun dan berterusan.

“Dua pusat terapi ini melibatkan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Seri Perdana, Alor Gajah dan PDK Duyong yang dijangka memberi manfaat kepada 55 kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Pertandingan Sukan dan Bakat OKU Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 di Stadium Tun Fatimah Bukit Serindit, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan.

Turut hadir Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem serta Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka Halyjah Muhamad.

Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri turut menghargai pengorbanan ibu bapa dan penjaga yang sentiasa memberikan sokongan kepada anak-anak OKU dalam melalui proses pemulihan dan perkembangan diri.

“Kepada semua ibu bapa dan penjaga, saya amat menghargai setiap pengorbanan dan perjuangan anda, saya akan terus berdiri bersama-sama keluarga besar Melaka ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ab Rauf berkata Kerajaan Negeri memperuntukkan RM300,000 bagi memperkukuh latihan, pembangunan bakat dan penyertaan atlet para Melaka secara lebih sistematik serta berterusan.

“Melaka kini memiliki 61 atlet para yang telah mengukir kejayaan di pentas antarabangsa dengan membawa pulang lebih 27 pingat menerusi pelbagai kejohanan berprestij sepanjang tiga tahun lalu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

246
Kongsi :
Previous post SUKAN OKU JADI GELANGGANG CUNGKIL BAKAT ATLET ISTIMEWA
Next post MELAKA PERUNTUK RM850,000 PERKASA GOLONGAN OKU