SUKAN OKU JADI GELANGGANG CUNGKIL BAKAT ATLET ISTIMEWA

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

DUYONG 31 Julai – Stadium Tun Fatimah Bukit Serindit, menjadi saksi semangat lebih 800 murid pendidikan khas, pelatih Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan orang kurang upaya (OKU) yang berkumpul sejak pagi untuk mengambil bahagian pada penganjuran Karnival Pertandingan Sukan dan Bakat OKU Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026.

Jumlah kehadiran yang ramai itu juga membuktikan bahawa setiap individu mampu menyerlah dan mahu menonjolkan kebolehan dalam diri masing-masing apabila diberi peluang serta gelanggang untuk bersaing.

Malah penganjuran sukan seumpama itu juga membuka ruang buat golongan berkenaan mengetengahkan bakat, membina keyakinan diri serta mengembangkan potensi masing-masing.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, karnival itu bukan sekadar medan pertandingan, malah menjadi platform mencungkil bakat dan membuka lebih banyak peluang kepada OKU untuk berkembang sehingga ke peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

“Kita bawa ramai peserta terdiri daripada murid pendidikan khas, pelatih PDK serta warga OKU dari seluruh Negeri Melaka, berhimpun dalam satu gelanggang di bawah satu semangat Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).

“Sebanyak tujuh acara utama dipertandingkan antaranya sukaneka, olahraga balapan, futsal, nyanyian dan tarian sebagai medan untuk mencungkil bakat, membina keyakinan serta membuka lebih banyak ruang agar potensi warga OKU terus berkembang,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Pertandingan Sukan dan Bakat OKU Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 di Stadium Tun Fatimah Bukit Serindit, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan.

Turut Hadir Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem serta Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka Halyjah Muhamad.

Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri tidak mahu karnival itu berakhir sebaik sahaja acara selesai, sebaliknya setiap bakat yang ditemui perlu terus dibimbing dan diberi peluang untuk berkembang.

“Hasrat Kerajaan Negeri cukup jelas, iaitu memastikan setiap anak Melaka mempunyai tempat dalam arus kemajuan negeri ini. Setiap insan mempunyai kekuatan tersendiri. Tanggungjawab kita bukan untuk menentukan batas mereka tetapi membuka sebanyak mungkin jalan supaya mereka dapat mencapai kejayaan.

“Binalah impian sebesar langit kerana saya percaya anak-anak istimewa ini adalah permata yang akan terus menyinar dan mengharumkan nama Melaka ke persada dunia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

309
Kongsi :
Previous post A’FAMOSA SAFARI WONDERLAND-ZPOT KONGSI KEPAKARAN DEMI KELESTARIAN HIDUPAN LIAR
Next post MELAKA TAMBAH DUA LAGI PUSAT TERAPI OKU, OPERASI BERMULA SEPTEMBER